suzalina@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi diminta menjelaskan kepada orang ramai sebab media tidak dibenarkan mendedahkan nama lima remaja yang dibawa ke mahkamah atas dakwaan kes buli terhadap pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Permintaan itu disuarakan Ahli Parlimen kerajaan, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah semasa sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Dewan Rakyat, hari ini.
Bung Moktar berkata, Kementerian Komunikasi perlu menjelaskan perkara itu berikutan beliau bimbang dengan netizen yang tidak memahami sebab identiti lima suspek berkenaan perlu dilindungi.
“Bolehkah YB (Yang Berhormat) membuat makluman bahawa nama tidak boleh didedahkan sebab ini kes juvana, tapi rakyat kurang faham. Masing-masing, rakyat di bawah ini mereka percaya dengan media sosial.
“Jadi ia tanggungjawab kementerian ini memberi maklumat bahawa memang dalam peraturan negara kita tidak izinkan pendedahan nama, supaya mereka maklum dan faham,” katanya.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, sempat menjelaskan bahawa ia adalah kes juvana sebelum Fahmi menjawab persoalan itu.
Fahmi berkata, berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001, undang-undang itu melarang media mendedahkan nama, imej, atau sebarang maklumat mengenai suspek kanak-kanak yang boleh membawa kepada pengecaman mereka.
“Akta kanak-Kanak 2001, Seksyen 15 sangat jelas nyatakan ada sekatan yang dilaksanakan bila kes babitkan kanak-kanak, bukan babitkan arahan mana-mana, memang akta terpakai,” katanya.
Lima remaja yang didakwa mengeluarkan perkataan mencela Zara Qairina Mahathir, 13, dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak di Kota Kinabalu, pagi tadi.
Mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Zara Qairina iaitu pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd