Seoul: Kementerian Sukan Korea Selatan menggesa agar Presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) digantung selepas melanggar peraturan persatuan itu dalam proses pelantikan dua jurulatih pasukan kebangsaan lelaki.
Seruan berkenaan dibuat selepas hasil audit mendedahkan bahawa pelantikan Hong Myung Bo dan Jurgen Klinsmann, menimbulkan kontroversi besar, dengan dakwaan terdapat amalan pilih kasih serta salah guna kuasa.
Audit berkenaan turut menyiasat kemungkinan penyelewengan kewangan dan pentadbiran dalam proses pengambilan berkenaan.
Audit sementara bulan lalu mendapati bahawa Presiden KFA, Chung Mong Gyu, melanggar peraturan dengan melantik kedua-dua jurulatih itu walaupun beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
KFA yang dihubungi untuk memberi kenyataan tidak memberi sebarang jawapan.
Sementara itu, Mong Gyu ketika sesi pendengaran di Parlimen hujung bulan lalu berkata, bahawa proses pelantikan tidak sempurna, namun beliau menegaskan tidak melanggar apa-apa peraturan.
Myung Bo dalam satu kenyataan pada September lalu menafikan dakwaan bahawa pelantikannya adalah hasil daripada layanan istimewa oleh KFA.
Kementerian Sukan dalam kenyataan mereka mendesak agar Mong Gyu digantung daripada tugas dan tindakan disiplin dikenakan terhadap beliau serta beberapa pegawai kanan KFA dalam tempoh sebulan.
Mereka mendakwa para pemimpin KFA ‘melumpuhkan’ Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan, badan penasihat yang bertanggungjawab dalam pengambilan staf kejurulatihan.
“Apabila isu mengenai proses pemilihan jurulatih terbongkar, KFA turut mengedarkan kenyataan akhbar yang berbaur penipuan untuk menipu orang ramai,” kata kenyataan itu.
Selain itu, kementerian turut menegaskan bahawa KFA melanggar peraturan dengan menerima dana bantuan kerajaan dan menguruskan dana mereka dengan cara yang tidak sah.
Kementerian Sukan turut menggesa KFA untuk merangka langkah-langkah pemulihan dalam tempoh dua bulan bagi memperbaiki kelemahan prosedur dalam pelantikan Myung Bo, termasuk kemungkinan memilih calon baru melalui Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd