Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 dan menawarkan hadiah bernilai hampir RM1.4 juta bermula 1 Januari 2026.
Kempen itu dianjurkan bertujuan, menggalakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat dan sebagai penghargaan kepada pendeposit Simpan SSPN yang menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama instrumen simpanan pendidikan anak.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata PTPTN memperkenalkan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! bagi menarik minat penyertaan generasi muda untuk menabung.
“Cabutan itu terbuka kepada pendeposit Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang berumur antara 16 hingga 29 tahun yang membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.
“Pendeposit juga hendaklah membuat simpanan melalui aplikasi myPTPTN dalam tempoh kempen untuk menyertai cabutan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, orang ramai digalakkan merebut peluang menyertai Cabutan Simpan SSPN 2026 yang berlangsung sepanjang tahun, sambil meneruskan amalan menabung.
“Harapan saya, kempen ini akan mendapat sokongan padu daripada semua pihak, sekali gus memperkukuh Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan pendidikan utama negara.
“Selain itu dapat membentuk generasi yang lebih bersedia, berdaya tahan, dan berilmu se-
lari aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Pemenang hadiah utama dan kedua Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 Kategori Platinium bergambar bersama Norliza (tengah) semasa Majlis Pelancaran Cabutan Simpan SSPN 2026.
Pada majlis sama, PTPTN turut meraikan pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 Kategori Cabutan WOW! Tahunan dan Cabutan Siri WOW! Superheroes.
Ibu tunggal yang juga pemenang bagi Hadiah Utama Cabutan WOW! Tahunan Kategori Platinum, Umi Kalsum Abd Razak, 56, berkata beliau mula menabung dalam Simpan SSPN sejak 2018 sebelum pemergian almarhum suaminya.
“Saya teruskan apa yang arwah suami saya buat, menabung untuk anak dan keenam-enam anak saya mempunyai akaun simpanan, setiap bulan saya masukkan RM300 secara konsisten.
“Simpanan itu bukan sahaja bertujuan sebagai persediaan pendidikan anak, malah boleh digunakan dalam situasi mendesak termasuk perbelanjaan persekolahan apabila berdepan kekangan kewangan.
“Ibu bapa dan masyarakat tidak boleh memandang ringan kepentingan menabung, khususnya melalui Simpan SSPN kerana manfaatnya bukan sekadar peluang memenangi hadiah cabutan.
“Menabung dengan PTPTN sebenarnya tidak merugikan, kalau kita konsisten, bukan sahaja berpeluang memenangi hadiah tetapi banyak lagi manfaat lain yang ditawarkan, termasuk simpanan untuk pendidikan,” katanya.
Simpanan untuk pendidikan
Pengurus di syarikat minyak yang turut memenangi hadiah kedua Cabutan WOW! Tahunan Kategori Platinum, Mohammed Firdhaus Nawawi, 46, berkata simpanan itu membantu ibu bapa menjadi lebih berdisiplin kerana wang berkenaan dikhususkan untuk pendidikan anak.
“Saya memilih Simpan SSPN kerana kelebihan yang ditawarkan termasuk pelepasan cukai, selain peluang menyertai cabutan hadiah yang disediakan oleh PTPTN, walaupun saya tidak pernah berniat untuk memenangi sebarang hadiah.
“Saya menabung bukan semata-mata kerana hadiah, tetapi lebih kepada memastikan masa depan pendidikan anak terjamin. Alhamdulillah, hari ini saya dikurniakan rezeki hasil simpanan itu dan menganggap kejayaan ini juga adalah rezeki anak,” katanya.
Firdhaus berkata, ibu bapa perlu menekankan kepentingan menabung secara konsisten walaupun bermula dengan jumlah kecil, memandangkan kos pendidikan yang semakin meningkat.
“Saya mula menabung RM50 sebulan untuk setiap anak dan apabila semakin stabil, jumlah itu ditambah sedikit demi sedikit, yang penting konsisten.
“Insya-Allah, saya akan teruskan simpanan untuk anak kerana itu tanggungjawab kita sebagai ibu bapa,” katanya.
Menangi hadiah utama

Norliza (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (dua dari kiri) bergambar bersama hadiah utama Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026.
Perunding teknologi maklumat (IT), Suhaida Raizi, 36, pula berkata beliau konsisten menabung untuk masa depan anaknya sehingga membuahkan hasil apabila diumumkan sebagai pemenang Cabutan Siri WOW! Superheroes.
Menurut Suhaida, beliau gembira dan bersyukur selepas menerima panggilan memaklumkan kemenangan itu, meskipun baru menyertai Simpan SSPN pada tahun lalu.
“Memang tak sangka, kerana saya baru mula menabung pada tahun lalu dan tiba-tiba dapat panggilan mengatakan saya menang hadiah utama untuk kategori WOW! Superheroes.
“Saya mula membuka akaun Simpan SSPN pada pertengahan tahun lalu dengan komitmen minimum RM30 sebulan bagi setiap seorang anak saya.
“Saya ambil pakej paling rendah, RM30 sebulan untuk dua orang anak, saya tidak membuat potongan gaji, sebaliknya menyimpan sendiri dengan konsisten pada setiap bulan, ada kalanya saya masukkan lebih sebagai simpanan tambahan,” katanya.
Suhaida berkata, wang kemenangan berkenaan akan disimpan sepenuhnya bagi tujuan pendidikan anaknya untuk masa akan datang.
“Saya simpan untuk anak sambung belajar kerana sekarang ini kos pendidikan pun semakin mahal, jadi memang penting untuk ibu bapa bersedia dari awal.
“Saya memilih Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan pendidikan kerana ia mematuhi prinsip syariah, selain menawarkan perlindungan.
“Saya buat perbandingan sebelum menabung, Simpan SSPN mematuhi syariah dan menawarkan perlindungan takaful percuma, sekali gus membuatkan saya lebih yakin untuk simpan di sini,” katanya.
Suhaida turut mengajak ibu bapa dan masyarakat umum untuk memulakan simpanan pendidikan anak melalui Simpan SSPN.
“Kita sebagai ibu bapa perlu fikir masa depan anak kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada kita nanti, walaupun RM30 sebulan, menabunglah untuk masa depan mereka yang lebih terjamin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






