Kempen Harimau Malaya berakhir, selamat tinggal Piala Asean

Kempen Harimau Malaya berakhir, selamat tinggal Piala Asean



firdaushashim@hmettro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kempen Piala Asean 2024 kali ini selepas sekadar terikat tanpa jaringan dengan Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

Ketumpulan jentera hadapan nyata mengecewakan 31,127 penyokong yang hadir bagi memberi sokongan kepada pemain negara.

Skuad Harimau Malaya terdesak untuk memburu kemenangan dalam aksi ini bagi membolehkan pasukan mengumpul tujuh mata dan mengakhiri saingan Kumpulan A di tangga kedua.

Sebaliknya Singapura yang dibimbing Tsutomu Ogura dari Jepun hanya mahukan seri untuk mereka mengiringi Thailand ke seoaruh akhir.

Dalam aksi itu, pengendali negara Pau Marti Vicente membuat tiga pertukaran dalam senarai utama berbanding ketika menentang Thailand pada 14 Disember lalu apabila menyaksikan Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Dominic Tan memulakan permainan selepas trio itu tidak di bawa ke Bangkok.

Malah, Haziq Nadzli yang membuat kesilapan dalam aksi ketiga sebelum ini masih diberi kepercayaan untuk mengawal gawang negara dalam aksi ‘hidup mati’ kumpulan itu.

Gol awal nyata jadi buruan tuan rumah dan dalam tempoh 10 minit awal permainan menyaksikan Malaysia meraih tiga peluang terbaik meraih gol.

Ia menerusi rembatan luar kotak penalti Endrick dos Santos di minit keenam yang tepat ke dakapan penjaga gol lawan, Izwan Mahbud serta Syamer Kutty Abba dan Harith Haiqal pada minit ketujuh dan kesembilan, kesemuanya tidak menepati sasaran.

Singapura yang hanya memerlukan keputusan seri nyaris dibolosi pada minit 28 namun sepakan lencong Stuart Wilkin sedikit tersasar buat melegakan kem pelawat.

Daniel Ting turut berpeluang memecah kebuntuan dihujung permainan tetapi percubaanya tidak tepat sekali gus mengakhiri aksi babak pertama tanpa sebarang jaringan.

Sebaik dua minit babak kedua bersambung, Endrick terus menghadirkankan ancaman menerusi rembatan padunya yang sedikit tersasar.

Ketumpulan jentera hadapan menyaksikan Paulo Josue dan Fergus Tierney di bawa masuk dengan mengeluarkan Haqimi dan Dominic sekali gus memaksa Harith mengisi bek tengah.

Kemasukan tonggak berkenaan membawa impak segera di mana Malaysia dihidangkan dua peluang terbaik dalam tempoh lima minit namun kedua-dua percubaan gagal menemui jaring pelawat di minit 60 dan 64.

Di minit 66 Haziq membuat satu halangan cemerlang selepas Kyoga Nakamura melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti.

Palang pula menjadi penghalang buat pasukan negara apabila sepakan sudut Sergio Aguero disambut Harith pada minit ke-68 namun tandukannya sekadar menggegar palang gol lawan.

Dihujung permainan Haziq sekali lagi bertindak cemerlang apabila menafikan percubaan lawan sekali gus aksi berakhir seri untuk kedua-dua berpuas hati satu mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR