KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) memperkenalkan kempen ‘Save 2 Win’ yang memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah menarik bernilai lebih daripada RM3.5 juta.
Kempen ini bertujuan menggalakkan orang ramai termasuk perniagaan kecil dan sederhana, untuk membuka akaun dan membuat simpanan dengan Bank Muamalat.
Dengan tema “Save more, Refer More, Win More,” kempen ini memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi pelbagai hadiah menarik sepanjang tempoh kempen yang berlangsung dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025.
Kempen ‘Save 2 Win’ terbuka kepada semua pelanggan berumur 12 tahun ke atas yang menetap di Malaysia, termasuk mereka yang bukan pemastautin.
Selain itu, perniagaan kecil seperti perusahaan tunggal, perkongsian, agensi profesional dan syarikat juga layak untuk menyertai kempen ini.
Pelanggan yang menyertai kempen ini berpeluang mengumpul Mata Kemasukan (Entry Point) dengan membuat deposit tambahan, membuka akaun baharu serta merujuk ahli keluarga dan rakan-rakan.
Setiap produk yang layak mempunyai syarat deposit minimum tertentu bagi memperoleh mata kemasukan yang akan meningkatkan peluang memenangi hadiah.
Produk yang layak untuk menyertai kempen ini termasuk Akaun Berjangka Tetap-i Tawarruq (ABT-i SSi), Akaun Berjangka Tetap-i Tawarruq (ABT-i), Akaun Simpanan Tawarruq (AS), Akaun Semasa Tawarruq (AS), dan SURIA.
Hadiah utama bernilai RM1.6 juta
Antara hadiah utama yang ditawarkan dalam kempen ini adalah kondominium mewah di Lembah Klang bernilai RM1.6 juta untuk dua pemenang yang bakal diumumkan Januari 2026.
Selain itu, terdapat empat buah kereta PROTON e.MAS 7 Prime boleh dimenangi dalam dua cabutan separuh tahunan yang akan diadakan pada Julai 2025 dan Januari 2026.
Kempen ini turut menawarkan 40 baucar percutian bernilai RM10,000 dalam cabutan suku tahunan yang akan berlangsung pada April, Julai, Oktober 2025 dan Januari 2026.
Untuk hadiah bulanan pula, pelanggan berpeluang memenangi wang tunai RM5,000, iPad Air 11 inci (256GB), dan iPhone 16 Plus sepanjang tempoh kempen ini bermula Februari 2025 hingga Januari 2026.
Bukan itu sahaja, BMMB turut menawarkan hadiah bulanan yang dijamin kepada pelanggan yang memenuhi syarat-syarat tertentu.
Bagi 200 pelanggan pertama yang membuka Akaun Gaji Muamalat (MuSS) atau mana-mana akaun dalam talian BMMB, mereka berpeluang menerima hadiah tunai sebagai penghargaan ‘Early Bird’.
Selain itu, pelanggan yang berjaya mengumpulkan 10 multiplier (contohnya melalui rujukan pembukaan akaun BMMB kepada ahli keluarga atau rakan-rakan, pembukaan akaun atau produk BMMB, atau pembukaan akaun dalam talian) akan menerima hadiah berupa barangan eksklusif Bank Muamalat bernilai RM50.
Selain itu, pelanggan yang mengumpul Entry Points terbanyak juga berpeluang memenangi 10 unit AirPods Max melalui kategori “Top of the League”.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai, boleh lawati cawangan Bank Muamalat atau laman web rasmi bank untuk maklumat lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd