Kempen Tiada Haji Tanpa Permit komitmen Arab Saudi pastikan perjalanan ibadah selamat

Kempen Tiada Haji Tanpa Permit komitmen Arab Saudi pastikan perjalanan ibadah selamat


adha@bh.com.my

Makkah: Kerajaan Arab Saudi menyatakan komitmen teguh dan serius dalam memastikan perjalanan ibadah haji selamat dan teratur menerusi kempen kesedaran serta langkah penguatkuasaan melalui tema ‘Tiada Haji Tanpa Permit’.

Sumber Kementerian Media Arab Saudi memaklumkan, kempen berkenaan antara lain bertujuan mencegah kekecohan serta tindakan melanggar undang-undang yang pernah mencetus gangguan kepada kelancaran ibadah haji sebelum ini.

Katanya, ini antara lain termasuk menangani isu kehadiran jemaah tanpa izin, selain penipuan haji serta tawaran haji palsu yang banyak mendedahkan jemaah kepada keadaan yang sukar.

“Secara ringkas, kempen ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen pimpinan Arab Saudi dalam menyediakan perkhidmatan menyeluruh, selamat, selesa dan tenang kepada jemaah,” katanya.

Sebelum ini Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dilapor berkata, tindakan tegas berhubung pematuhan urusan ibadah haji termasuk berkaitan kehadiran jemaah ‘tidak sah’ bertujuan memastikan perjalanan ibadah teratur dan selamat.

Justeru, kementerian itu mengulangi komitmen seriusnya untuk menangani isu kehadiran jemaah ‘tidak sah’ yang cuba memasuki Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji musim ini.

Tindakan bersepadu diambil bersama agensi lain yang berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap soal berkaitan permit haji, terutama dalam tempoh beberapa hari menjelang hari wukuf di Arafah.

Sumber sama juga berkata, bagi musim 1446 Hijrah ini, kempen ‘Tiada Haji Tanpa Permit’ menegaskan pendirian serius kerajaan bahawa kejayaan haji merupakan tanggungjawab bersama dari segi keselamatan, organisasi dan kepatuhan undang-undang.

Memberi contoh Hari Arafah tahun ini, katanya, ia menjadi bukti kejayaan kempen ‘Tiada Haji Tanpa Permit’ di mana jemaah mematuhi arahan dan tiba tepat pada masa di kem mereka yang ditetapkan.

Keadaan ini disebabkan aliran trafik yang lancar dan jalan-jalan sekitar Arafah dan Masjid Namirah kekal terbuka dan teratur.

“Suasana penuh ketenangan dan keyakinan juga jelas terasa ketika jemaah menunaikan ibadah mereka dalam persekitaran yang selamat dan dibantu perkhidmatan kerajaan yang menyeluruh.

“Setiap jemaah sah diberikan ruang yang lengkap di kawasan suci, dengan keutamaan kepada aspek kesihatan dan keperluan perkhidmatan termasuk penginapan, makanan, rawatan kesihatan dan pengangkutan moden,” katanya.

Mengenai usaha diambil, kata sumber sama pelbagai langkah diambil termasuk penyebaran mesej kesedaran lebih awal, kawalan keselamatan diperketatkan di pintu masuk ke Makkah dan kawasan Tanah Haram, penggunaan teknologi pemantauan canggih, serta penguatkuasaan segera terhadap sebarang pelanggaran.

Pihak Berkuasa Umum Statistik Arab Saudi mengumumkan jumlah jemaah haji bagi 1446 Hijriah ialah 1,673,230 orang, termasuk 1,506,576 yang tiba dari luar Arab Saudi.

Bilangan jemaah tempatan, warganegara dan penduduk Arab Saudi ialah 166,654 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top