June 13, 2024

Kemuka petisyen pilihan raya hak masing-masing – Steven Sim


HULU SELANGOR – Pakatan Harapan (PH) menyifatkan langkah Perikatan Nasional (PN) yang mahu mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya calon yang diketengahkan tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu sebagai hak masing-masing.

“Itu hak masing-masinglah untuk melaporkan (kemuka petisyen), itu hak masing-masing,” kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Program Mengingati mendiang Lee Kee Hiong, di Galeri Seni Sastera di sini, malam ini.

Hadir sama pada program berkenaan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan calon PH, Pang Sock Tao.

Terdahulu hari ini, media melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan, PN akan mengemukakan petisyen tersebut atas alasan kerajaan perpaduan telah menyalah guna kuasa dan jentera sebelum dan ketika kempen PRK sedang berlangsung.

Amaran itu diberikan sekiranya PH menang pada PRK Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.

Takiyuddin berkata, perkara itu dibolehkan merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang mana Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad daripada Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pada pilihan raya berkenaan.

Awal bulan ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menjelang PRK Kuala Kubu Bharu.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi DAP itu menyatakan tindakannya tidak menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berikutan peruntukan itu diumumkan sebelum hari penamaan calon dan bukan dalam tempoh kempen.

Dalam pada itu, Chee Keong yang juga Pengerusi Penyelarasan Gerak Kerja Jentera PRK Kuala Kubu Baharu, menolak tuduhan parti lawan berhubung penggunaan aset kerajaan untuk melaksanakan kempen PH.

“Itu tidak tepat, saya datang pun dengan kenderaan sendiri, kereta peribadi sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top