Kemuka sijil nikah palsu, peniaga wanita didenda

Kemuka sijil nikah palsu, peniaga wanita didenda


Kuantan: Peniaga wanita didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan sijil perakuan nikah palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang pada 2012.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman turut memerintahkan tertuduh yang berusia 41 tahun itu, dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Dia didakwa dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu yang menyentuh butir yang dikehendaki ketika membuat permohonan pembetulan maklumat daftar kelahiran anak perempuannya di kaunter JPN di sini, pada 3.16 petang, 30 April 2012.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Pahang Mohd Nurhisyam Mohd Sofian bersama Penolong Pegawai Pendakwa Burhanuddin Hamzah, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Azlan Mohd Arish.

Pada prosiding itu, Mohd Nurhisyam memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada wanita itu dan masyarakat demi keselamatan serta kedaulatan negara.

Bagaimanapun, Mohd Azlan memohon denda minimum terhadap tertuduh yang hanya bekerja sebagai peniaga kecil dengan pendapatan RM1,000 sebulan dan mempunyai tiga anak.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top