Skuad Harimau Malaya akan membuka tirai Piala ASEAN menentang Kemboja pada 8 Disember. FOTO: FAM
PENYOKONG Harimau Malaya perlu lebih realistik dan bersikap terbuka sekiranya ada pasukan yang tidak akan melepaskan pemain untuk mengharungi aksi Piala ASEAN bulan depan.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, kejohanan yang tidak berada dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selain saingan liga yang turut berjalan bakal memberikan kesukaran untuk pasukan melepaskan pemain masing-masing.
Menurutnya, pengurusan Harimau Malaya sudah tentu tahu mencatur pemain yang sesuai sekali gus memastikan pasukan negara tetap menampilkan aksi terbaik dalam kejohanan itu.
“Apa yang penting kita nak tengok pengurusan Harimau Malaya dapat pilih pemain yang sesuai untuk Piala ASEAN sebab kita pun tahu kejohanan ini di luar kalendar FIFA dan mungkin ada kelab tidak dapat lepaskan pemain mereka.
“Jadi, kita kena terima hakikat dan kita kena terima pemain yang dipilih nanti setakat mana. Namun, saya tetap percaya pemain-pemain negara yang dipilih nanti tetap mampu memberikan aksi yang diharapkan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih berteka-teki dalam mengumumkan senarai nama pemain ke Piala ASEAN yang akan bermula pada 8 Disember depan.
Beberapa pasukan yang mengambil bahagian seperti pasukan bola sepak Thailand dan Indonesia telah mengumumkan skuad mereka dan bakal mempertaruhkan antara pemain terbaik.
Dalam pada itu, Jamal juga percaya pentas tersebut boleh digunakan untuk melihat kemampuan pemain baharu diuji dalam kejohanan tersebut.
“Mungkin sebelum ini ada pemain yang disimpan di bangku simpanan Harimau Malaya terlalu lama, dan kali ini dapat diberikan peluang bermain dalam kesebelasan utama.
“Jadi, pihak kejurulatihan boleh menilai sama ada pemain-pemain ini boleh dipanggil lagi untuk perlawanan akan datang atau tidak. Ini juga ruang besar untuk jurulatih memilih pemain yang muda, mempunyai semangat tinggi dan bertenaga,” katanya.