Kenaikan gaji minimum baiki taraf hidup rakyat

Kenaikan gaji minimum baiki taraf hidup rakyat


KUALA LUMPUR – Pengumuman kenaikan kadar gaji minimum sebanyak RM200 kepada RM1,700  berbanding kadar semasa RM1,500 sebulan bakal membaiki taraf hidup pekerja yang merupakan anggota penting dalam ekosistem negara.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) yang menyambut baik pengumuman tersebut menyifatkan jumlah kenaikan itu mencerminkan usaha kerajaan yang terus dan sentiasa menitikberatkan aspek pendapatan rakyat, yang menjadi tunjang ke arah kehidupan lebih baik lagi berkualiti.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie Mammal berkata, UNI-MLC berpandangan kenaikan sebanyak RM200 juga patut disambut dengan baik oleh majikan dalam meningkatkan martabat pekerja.

“Kita faham hakikat bahawa majikan menjalankan perniagaan demi keuntungan, tetapi pada masa yang sama pihak majikan harus berkongsi sebahagian keuntungan bersama pekerja masing-masing.

“Prinsip dan semangat ini harus dicerminkan dengan merealisasikan gaji minimum terbaharu yang diumumkan menerusi Belanjawan 2025. UNI-MLC menggalakkan jika majikan bersedia untuk menawarkan gaji lebih baik berbanding gaji minimum RM1,700 yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Februari 2025,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, pihaknya yakin penstrukturan ekonomi hanya akan dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

Oleh itu pendekatan penguatkuasaan juga akan dipertingkatkan bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan dasar terbaharu gaji minimum.

UNI-MLC juga menyambut pengumuman Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.

“Secara keseluruhannya UNI-MLC menyambut insentif-insentif yang diumumkan oleh Kerajaan bagi pekerja sektor awam dan sektor swasta,” ujar beliau. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top