Kenali punca, tanda gastrik ketika berpuasa

Kenali punca, tanda gastrik ketika berpuasa


Baru pukul 10 pagi, ulu hati sudah terasa pedih. Padahal masa sahur sudah makan tetapi kini perut terasa ‘berkeroncong’. Takkan perut kenyang pun boleh jadi gastrik?

Hakikatnya gastrik tidak hanya berlaku ketika perut kosong. Terdapat banyak punca menyebabkan gastrik.

Pakar Bedah Am, Hepatobiliari- Pankreas dan Trauma,Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Affirul Chairil Ariffin berkata, terdapat beberapa jenis makanan dan minuman yang sebaiknya dielakkan ketika bersahur dan berbuka puasa untuk mencegah gastrik.

DR. AFFIFUL CHAIRIL

“Makanan berlemak dan berminyak perlu dielakkan kerana ia boleh memperlahankan proses pencernaan dan memberi tekanan pada perut dan meningkatkan kemungkinan penghasilan asid berlebihan.

“Elakkan juga makan makanan pedas dan berempah kerana ia merengsakan lapisan perut, meningkatkan keasidan dan menyebabkan pedih ulu hati atau ketidakselesaan pada perut,” katanya.

Makanan manis atau tinggi gula pula boleh menyebabkan lonjakan paras gula dalam darah dan meningkatkan penghasilan asid perut yang boleh mencetuskan masalah gastrik. Selain makanan, minuman mengandungi kafein seperti kopi dan teh pula merangsang pengeluaran asid perut dan boleh menyebabkan iritasi atau radang pada lapisan perut, terutama apabila diambil pada waktu perut kosong.

Katanya lagi, minuman berkarbonat boleh menyebabkan kembung perut dan meningkatkan rasa tidak selesa di dalam perut. Gas dalam minuman ini boleh mencetuskan masalah penghadaman dan meningkatkan keasidan.

Makanan berasid atau terlalu masam juga perlu dielakkan kerana ia meningkatkan asid dalam perut dan menyebabkan iritasi kepada lapisan perut yang sensitif, terutamanya ketika perut kosong ketika berpuasa.

“Sesetengah jenis ubat juga boleh menyebabkan gastrik. Individu yang mengambil ubat tahan sakit seperti aspirin atau ubat anti-radang nonsteroid (NSAIDs), perlu lebih berhati-hati semasa berpuasa kerana ubat ini boleh meningkatkan risiko gastrik apabila diambil pada perut kosong,” jelasnya.

Ketika musim panas, pastikan minum air mencukupi ketika bersahur dan berbuka kerana gastrik boleh berlaku akibat kekurangan air semasa berpuasa. Apabila kekurangan air, perut kekurangan cecair yang boleh merangsang pengeluaran asid perut berlebihan dan menjurus kepada gastrik.

Air suam adalah pilihan terbaik kerana ia membantu menenangkan perut dan mengelakkan kembung.

Rutin pema­kanan yang baik

Dr. Affirul Chairil berkata, makan sahur dengan makanan seimbang, merangkumi pelbagai khasiat adalah antara langkah penting bagi mencegah berlakunya gastrik.

“Pastikan sahur mengandungi makanan kaya dengan serat, karbohidrat kompleks seperti roti gandum, nasi perang, atau oat, dan sumber protein seperti telur, ayam, atau kekacang. Makanan ini membantu mengekalkan tenaga sepanjang hari.

“Masukkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang kaya dengan serat untuk membantu pencernaan dan mengelakkan sembelit.

“Elakkan makanan yang tinggi kandungan gula atau makanan yang terlalu pedas dan berlemak kerana ia boleh merangsang penghasilan asid perut yang menyebabkan gastrik,” katanya.

Waktu berbuka pula elakkan makan berlebihan. Walaupun rasa lapar boleh mendorong kita untuk makan banyak, cuba untuk makan secara sederhana. Ambil hidangan kecil dahulu seperti kurma dan air, kemudian makan dengan perlahan-lahan. Makan berlebihan akan memberi tekanan pada perut dan merisikokan gastrik.

“Ambil makanan mudah dicerna semasa bersahur dan berbuka seperti sup, buah-buahan atau sayur-sayuran. Makanan berat dan pedas boleh merengsakan perut yang kosong.

“Amalkan makan lebih banyak makanan dalam jumlah kecil pada waktu berbuka dan bersahur. Ini akan mengurangkan tekanan pada perut dan membantu pencernaan dengan lebih baik,” katanya.

Makan secara perlahan dan nikmati makanan, kerana makan dengan cepat boleh menyebabkan rasa kembung dan memberi tekanan pada perut kosong.

Berbuka dengan makanan berat atau sukar dicerna memerlukan masa yang lebih lama untuk dihadam. Ini boleh memberi tekanan ke atas sistem pencernaan dan menyebabkan rasa kenyang yang tidak selesa.

Gejala awal gastrik

Tanda-tanda awal gastrik adalah sakit atau ketidakselesaan di bahagian perut, rasa sakit atau pedih ulu hati yang juga dikenali sebagai ‘heartburn’di bahagian atas perut atau dada. Rasa ini boleh berterusan atau datang secara berulang.

Langkah gaya hidup sihat elak gastrik:

1Elakkan merokok
Merokok meningkatkan penghasilan asid dalam perut dan merosakkan lapisan pelindung perut, meningkatkan risiko gastrik. Jika anda seorang perokok, cuba untuk mengurangkan atau berhenti merokok, terutama semasa bulan puasa.

2 Kawal Stres
Stres boleh memburuklan gastrik kerana ia merangsang pengeluaran asid perut dan meningkatkan keradangan dalam perut.

3Elakkan Tidur Terus Selepas Makan
Tidur selepas makan boleh meningkatkan kemungkinan refluks asid kerana ia menyebabkan asid naik ke esofagus dan menyebabkan rasa terbakar.

4 Gunakan Ubat-ubatan (Jika Disyorkan oleh Doktor)
Bagi yang mempunyai sejarah gastrik atau ulser perut, pengambilan ubat tertentu seperti antasid atau proton pump inhibitors (PPI) boleh membantu mengawal pengeluaran asid dan mencegah serangan gastrik.

“Pesakit juga mengalami kembung perut dan gas atau berangin. Perut terasa penuh, buncit atau kembung. Anda mungkin juga sering sendawa atau rasa terperangkap gas dalam perut.

“Rasa mual atau loya, kadangkala disertai dengan muntah. Ini boleh berlaku selepas makan atau semasa perut kosong. Pesakit juga akan hilang selera makan atau enggan makan walaupun ketika waktu berbuka atau bersahur,” katanya.

Bagi mengatasi gastrik, katanya, ketika bersahur atau berbuka, minum air secara perlahan. Dehidrasi atau kekurangan air boleh memburukkan gastrik.

Katanya, elakkan juga minuman berkafein atau berkarbonat. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top