Kenali Sheila Abdull dalam lagu-lagu tidak popularnya

Kenali Sheila Abdull dalam lagu-lagu tidak popularnya


KETIKA ini, lagu berjudul Mungkinkah (2007) yang menjadi satu-satunya kejayaan komersial penyanyi, Sheila Abdull menerusi lagu popular itu sudah merekodkan lebih dua juta pendengar di penstriman muzik digital, Spotify.

Mungkinkah jauh meninggalkan tujuh lagu lain di dalam album tunggalnya, Sheila Abdull (2008) dan dalam tempoh 18 tahun ini, juara Suara Bintang Adnan Abu Hassan 2006 kategori zon selatan itu masih dibalut tanggapan – penyanyi one hit wonder.

Tetapi, dia sebenarnya bertuah. Walaupun tidak konsisten menggerakkan aliran pop dan balada di pentas muzik nasional, sekurang-kurangnya, Mungkinkah menjadi identitinya selama bergelar penyanyi.

Dilentur oleh maestro muzik, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, Sheila sebenarnya berbakat besar. Cuma ruang dan peluang untuk dia menempatkan diri dalam pasaran muzik negara itu mungkin tidak mudah.

Hari ini, saya tidak lagi bercakap soal kekuatan pada Mungkinkah, tetapi membawa pembaca membuka lembaran lagu-lagu tidak popularnya.

Saya percaya, andai masa dapat diputar kembali, karyanya yang lain pasti lebih ‘boom’ jika EMI Music Malaysia tidak berdepan masalah, manakala SRD Villa Records, tidak lagi menguruskan artis.

LEPASKANLAH

Lepaskanlah merupakan single kedua daripada album Sheila yang bergerak di atas jaluran melodi paling galau, sentimental dan meruntun jiwa. Adnan, benar-benar menguji Sheila dalam penjiwaan dan lontaran suaranya yang terbukti di minit 3.15 dan 3.31. Tulisan liriknya indah dan saya tertarik di rangkap:

“Mungkin takdirnya tersurat, Kita ‘kan takkan bersama, Walau kita merancangkannya Tuhan menentukan” dan “Kau menduakan cinta suci, ‘Pabila kau bersama dia, Di mana terletak janjimu, Untuk bersamaku selamanya?”

NAFAS TERHENTI

Andai Adnan dan Sheila menumpukan Nafas Terhenti sebagai salah satu single utama selepas Mungkinkah, saya yakin lagu ini antara yang paling menyerlah. Ia menuntut tenaga yang cukup dan Sheila menyampaikannya dengan baik sekali.

Saya suka mendengar setiap lantunan suara pada nada tinggi seperti korus di minit 1.51 kemudian bersambung di bahagian bridge dan sekali lagi di 4.17.

Sama ada Sheila tidak diberi banyak masa untuk mengembangkan diskografinya atau pihak pengurusan tidak memandang lagu ini sebagai single potensi, ia cukup merugikan ketika Adnan mampu menghasilkan melodi berdinamik seperti ini.

ASMARA DI HATI

Melodinya memberi aura Datuk Seri Siti Nurhaliza, tetapi masih dengan gaya nyanyian Sheila. Mendengar lagu ini seperti ‘di awang-awangan’ dan perasaan yang berbunga. Walaupun ia bukanlah taraf lagu-lagu pertandingan, tetapi, lagu ini tetap kedengaran baik dari aspek gubahan dan nyanyian.

CINTA LUAR BIASA

Cinta Luar Biasa menjadi single terakhir daripada album. Melodinya mempunyai daya pengikat sekali pendengaran, sama seperti Mungkinkah. Saya tidak faham, mengapa lagu ini tidak dapat berdiri sama tinggi seperti single pertamanya itu?

KATA HATI

Kata Hati (2015) ciptaan suaminya, Ammar Habir dan lirik tulisan Datuk Habsah Hassan menyaksikan karya terakhir dirakam Sheila. Single ini juga memiliki alunan melodi yang membuai, selain kawalan suara Sheila yang baik di nada rendah selain tulisan magis daripada Habsah.

Beralih zaman, suara Sheila sama seperti di dalam albumnya, namun dia kedengaran lebih matang dalam penyampaian yang sebegini. Bahagian paling menarik di bahagian bridge ketika Habsah menulis rangkap:

“Terdengar sebak suara, Kata-kata ayah ibu, Dan nasihat kawan-kawanku Dulu ketika itu, Siapa saja cuba menghalangi, Aku hindari, Ho-o-o-o-o…, Tiada ‘ku peduli.”

GEGAR VAGANZA 11

Penyertaan Sheila dalam program nyanyian paling berprestij GV, yang kini memasuki tahun ke-11 bermula 24 November ini, pastinya menjadi penantian terbesar bagi pengikut Sheila, sejak dia menjejak kaki ke dalam industri muzik 18 tahun lalu.

Dalam umur dan pengalaman yang sudah mematangkan, mungkin ini peluang keduanya untuk membuktikan dia masih relevan dalam bidang nyanyian profesional.

Namun, untuk ke arah itu, dia harus bijak mengatur kerjaya seninya bermula sekarang sebelum dia tergolong dalam kalangan bekas peserta GV, yang terus sendu walaupun sudah melabur kos terlalu tinggi untuk kemunculan semula.





Source link

OR

Scroll to Top