Slug pecat-o
‘Kenapa BERSATU tak pecat lima ADUN seperti pecat enam Ahli Parlimen?’
Oleh Nazura Ngah
am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Misbahul Munir Masduki, membangkitkan persoalan berhubung tindakan BERSATU yang didakwa tidak konsisten dan ‘pilih kasih’ dalam mengurus isu membabitkan ahli mereka.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu dalam hantaran ringkas di Facebook mempertikaikan tindakan BERSATU yang tidak memecat lima Ahli Dewan Undangan (ADUN) daripada parti itu selepas menarik balik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu membandingkan tindakan diambil terhadap enam Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat kerana didakwa pengkhianat selepas menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Enam Ahli Parlimen BERSATU sokong PMX (Anwar) dikata pengkhianat dan dipecat. Lima ADUN BERSATU tarik sokongan Menteri Besar PN (Perikatan Nasional) bukan pengkhianat juga ke? dan kenapa tidak pula dipecat ya?,” katanya.
Kenyataan itu menyusul selepas beberapa pemimpin PAS menyindir BERSATU susulan kemelut politik yang menyaksikan peletakan jawatan Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Sebelum ini, lima ADUN BERSATU bersama tiga ADUN PAS dilapor menghantar akuan bersumpah (SD) ke Istana Arau untuk menggantikan Mohd Shukri, yang akhirnya menyaksikan ADUN Kuala Perlis daripada BERSATU, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis kesembilan semalam.
Untuk rekod, enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Keenam-enam Ahli Parlimen itu diberikan notis gugur keahlian pada 12 Jun 2024 apabila mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.
© New Straits Times Press (M) Bhd






