Kenapa Herry IP digelar Naga Api?

Kenapa Herry IP digelar Naga Api?



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu, Herry Iman Pierngadi digelar Naga Api.

Berkongsi mengenai perkara itu, Herry, 63, berkata, gelaran itu diberikan peminat badminton China yang kagum dengan kejayaannya membantu pasangan Indonesia meraih banyak kejuaraan di negara Tembok Besar itu.

Katanya, ia bermula selepas dia menjadi watak penting terhadap kejayaan gandingan, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan yang menewaskan juara lima kali dari China, Cai Yun-Fu Haifeng pada aksi separuh akhir Kejohanan Dunia 2013 di Guangzhou.

Hendra-Ahsan kemudiannya muncul juara selepas menewaskan gandingan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen pada aksi final.

“Selepas Hendra-Ahsan menang kejuaraan dunia di Guangzhou, peminat China mula memanggil saya Naga Api.

“Kemudian, peminat Indonesia mengambil gelaran itu dan ia kekal sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Kini, Herry berharap dapat menggunakan ‘kuasa naga api’ untuk membantu melonjakkan prestasi barisan pemain beregu lelaki negara.

Meskipun secara rasmi hanya akan memulakan tugasnya, esok, Herry hadir ke ABM, hari ini, bagi menyaksikan sesi latihan skuad kebangsaan dan memahami pendekatan digunakan sebelum ini.

“Saya datang lebih awal untuk melihat sendiri sesi latihan dan kemudahan yang ada sebelum memulakan tugas secara rasmi,” katanya.

Dia turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky bagi membincangkan hala tuju skuad beregu lelaki negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top