Pelakon dan model, Alicia Amin tampil bersuara selepas segelintir netizen mempertikaikan perubahan fizikal rakan industri, aktor Meerqeen yang mendakwa peratusan lemak badannya tidak seperti dipaparkan.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Alicia tidak dapat menahan sabar apabila ada pihak seolah-olah menuduh Meerqeen tidak jujur soal transformasi badannya.
“Saya jadi geram bila baca komen orang yang pertikaikan peratusan lemak badan Meerqeen kononnya tak sama macam carta yang dia kongsi.
“Ada orang memang simpan air di pipi, saya pun begitu. Dia baru sahaja habis fasa ‘bulking’, dan sekarang masuk fasa ‘cutting’.
“Dia dah berusaha bersungguh-sungguh, jadi kenapa pula dia perlu menipu. Peliklah,” katanya.

Dalam masa sama, Alicia berkata dia memahami tekanan yang dilalui Meerqeen kerana mereka berdua melalui proses berbeza untuk watak masing-masing.
“Masa dia ‘bulking’, saya pula sedang ‘cutting’ untuk watak saya. Jadi saya faham sangat perasaan dan cabaran yang dia lalui.
“Otot itu memang asli. Wajah dia nampak sedikit berisi sebab dia belum kurangkan pengambilan garam atau karbohidrat lagi,” tulisnya.

Terdahulu, perkongsian mengenai perubahan fizikal Meerqeen mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen, malah Meerqeen turut mendedahkan ada segelintir pihak mengatakan badannya gemuk.






