Kenapa Netanyahu tutup kamera belakang telefon bimbit?

Kenapa Netanyahu tutup kamera belakang telefon bimbit?


Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilihat menutup kamera belakang telefon bimbitnya dengan pita pelekat merah seperti yang dipaparkan dalam beberapa foto yang tular di media social, lapor NDTV.

Rakaman yang diambil di kawasan parkir bawah tanah Parlimen Israel, Knesset menunjukkan Netanyahu berdiri di sebelah sebuah kereta mewah berwarna hitam sambil bercakap melalui telefon.

Penerbit podcast, Mario Nawfal, menyedari bahawa kanta kamera dan penderia telefon itu ditutup dengan pita merah tebal sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tindakan berkenaan.

“Mengapa Netanyahu menutup kamera telefonnya? Siapa yang dibimbangkannya?

“Jika Perdana Menteri Israel sendiri merasakan langkah itu perlu, apakah maksudnya kepada orang awam?” katanya.

Menurut saluran media Amerika Syarikat, Hypefresh, pita merah berkenaan bukan diletakkan secara sembarangan.

Ia adalah pelekat ‘tamper-evident’ (antiusikan) iaitu pelekat khas yang lazim digunakan di kawasan berisiko keselamatan tinggi. Pelekat itu berfungsi menutup kamera bagi menghalang pengambilan gambar maklumat sensitif sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Telefon pintar dilengkapi kamera, mikrofon dan pelbagai penderia lain yang berpotensi digunakan untuk merakam atau membocorkan maklumat sulit. Di kawasan larangan kerajaan termasuk zon berstatus sulit di Knesset, pengambilan gambar adalah dilarang sama sekali.

Menurut laporan Clash Report, tindakan menutup kamera telefon dengan pelekat itu berkemungkinan besar adalah langkah keselamatan bagi menghalang sebarang bentuk pengintipan atau rakaman di kawasan yang menyimpan maklumat sensitif.

Israel sememangnya mempunyai peraturan ketat terhadap penggunaan telefon pintar tertentu dan beberapa aplikasi seperti TikTok, susulan kebimbangan terhadap keselamatan negara.

Negara itu juga mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan teknologi pengintipan canggih, malah wujud dakwaan bahawa rakyatnya sendiri kadangkala dipantau tanpa kebenaran.

Antara contoh paling menonjol ialah perisian Pegasus milik NSO Group yang berpangkalan di Israel yang didakwa digunakan untuk mengintip wartawan, aktivis, pesaing politik dan pemimpin dunia di beberapa negara.

Terdapat juga dakwaan pada 2022 bahawa polis Israel mengintip orang awam, aktivis dan pegawai awam tanpa waran yang diperlukan dengan menggunakan peralatan perisian pengintip.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top