Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan bahawa kajian serta perbandingan kebaikan dan keburukan (pros and cons) membolehkan sesuatu keputusan dibuat dengan lebih cermat.
Beliau berkata, tindakan itu juga dapat menjimatkan masa dan tenaga daripada melakukan kerja yang tidak membawa manfaat serta mengelakkan kesilapan.
“Oleh itu, jangan sesekali takut dengan kajian. Jika kita mahukan keputusan yang tepat dan meyakinkan, kita memerlukan data dan fakta yang tepat.
“Sebab itulah saya sangat menghargai setiap proses pembelajaran dalam mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.
“Di situlah saya belajar memahami kekuatan dan kelemahan sesuatu polisi,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook hari ini.

Kenapa takut dengan kajian?
Tegas Hannah, penerangan itu wajar dijadikan sebagai renungan sempena cuti Hari Wilayah Persekutuan.
Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa bantahan berkaitan tindakannya mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan hari ini, Pemuda UMNO membantah cadangan berkenaan.
Artikel lain: Caj tapak bazar Ramadan rendah, Hannah Yeoh terima pujian -“Ni baru kerja seorang Menteri Wilayah”
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha menolak dan menggagalkan rancangan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur itu perlu diperjuangka.

Ia sebagaimana mereka melakukan perkara sama bagi Pembaharuan Semula Bandar serta pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini.
Menurut Hannah, pendidikan tinggi mengajar seseorang untuk meneliti dan memahami isu serta membuat kajian secara mendalam, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.

Katanya, kajian akan menjadikan seseorang lebih bijak dan merupakan satu proses penting dalam mendapatkan keputusan yang lebih baik.
“Malah, kebijaksanaan merupakan elemen penting bagi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dalam memimpin rakyat,” katanya.
Sumber: FB Hannah Yeoh





