Baru-baru ini, orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati apabila melihat dua individu iaitu Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy diberikan layanan berbeza sewaktu dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kegentaran awam.
Zamri yang merupakan pendakwah bebas digari tangannya manakala Arun yang juga aktivis tidak digari sekaligus menyebabkan pihak polis dilemparkan dengan pelbagai tuduhan.
Hari ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menjelaskan tindakan menggari Zamri ketika dibawa ke mahkamah pada Selasa lalu tidak melanggar prosedur serta peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, tangkapan awal terhadap Zamri melibatkan siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan selain turut berkait dengan Akta Hasutan yang mempunyai prosedur berbeza.
“Kesalahan-kesalahan yang kita tangkap sebelum ini berbeza-beza. Ada yang boleh dijamin dan ada yang tidak, terutama pada fasa awal tangkapan melibatkan empat kes di Putrajaya, di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
“Pada masa sama, terdapat juga kes di bawah Akta Hasutan yang memerlukan tindakan prosedur berlainan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata perbezaan pendekatan dalam kes berkenaan mungkin menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
Namun beliau menegaskan semua tindakan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang serta amalan biasa sistem perundangan negara.
Zamri, 42, bersama Arun, 56, merupakan antara tiga individu yang dihadapkan ke mahkamah di lokasi berbeza atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kegentaran awam.
Zamri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur manakala Arun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi. Seorang lagi tertuduh, pemandu e-hailing P Mahendra Bhoopaty, 53, pula didakwa di Mahkamah Majistret Seremban.
Zamri dan Arun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut, manakala Mahendra Bhoopaty didenda RM4,000 atau dipenjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah.
Dalam perkembanghan berkaitan, Mohd Khalid berkata pihaknya mempunyai maklumat bahawa aktivis Tamim Dahri kini berada di Tanah Suci dan tindakan pendakwaan telah dibuat.
Katanya, apabila Tamim pulang, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap beliau.
Terdahulu, Mohd Khalid memaklumkan Tamim akan didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan “soolam”, simbol suci agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi.






