Mohd Daud bersama barisan pemain KDA FC selepas aksi separuh akhir kedua MFL Challenge Cup di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu. Foto KDA FC
KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) kini sedang berusaha mengumpulkan 20,000 keahlian penyokong setia sebagai langkah menarik penaja baharu sekali gus menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi kelab tersebut.
Pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, pelancaran platform keahlian KDA FC secara virtual juga bertujuan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada ahli yang mendaftar.
Menurutnya, Sang Kenari perlu membuktikan kepada bakal penaja melalui platform yang dikenali The Wing dengan keahlian RM10 sahaja.
“Pelancaran ini adalah tawaran untuk dapatkan penajaan yang besar dari sebuah syarikat antarabangsa sekiranya jumlah pendaftaran keahlian berjaya mencapai angka tertentu.
“Inilah masanya untuk bersama-sama memulihkan kewangan kelab dengan mendapat dana penajaan yang besar bagi membayar segala hutang yang tertunggak dan mengorak langkah ke musim baharu,” katanya pada Sabtu.
Jelas Mohd Daud, di samping menikmati pelbagai manfaat keahlian The Wing, penyokong setia KDA FC juga menyumbang ‘talian hayat’ kepada kelab kesayangan mereka sekali gus menyuntik semangat baharu pada musim 2025/2026.
“Saya ingin mengajak dan menyeru anda semua terus mendaftar sebagai ahli The Wing seramai dan secepat mungkin.
“Terus buktikan bahawa keluarga KDA FC masih utuh dan masih berinspirasi tinggi untuk kelangsungan kelab legasi kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, KDA FC juga akan mengumumkan kolaborasi dengan seorang figura bola sepak dunia yang pernah beraksi di saingan Piala Dunia serta Euro dan pengumuman rasmi akan dibuat apabila tiba masanya.