nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: PAS menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung BERSATU akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebagai gopoh.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kuasa atau watikah berhubung penggunaan logo PRN perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN dan bukannya presiden parti.
“Nak guna logo PN, saya rasa ada kesilapan dari segi kenyataan. Dia ingat boleh guna dengan mudah, sebaliknya ada peraturannya.
“Kuasa atau watikah perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti.
“BERSATU nak tanding (guna) logo PN sepatutnya perlu dbincang dan diperhalusi dalam PN dan tidak sepatutnya diumum. Sebab itu saya merasakan kenyataan Tan Sri Muhyiddin ‘lorat’ (gopoh) kerana ia bersifat teknikal dan perlu dibincang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pengkalan Chepa yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, di sini, hari ini.
Ditanya kenyataan BERSATU yang sedia berdepan PAS pada PRN nanti, Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, BERSATU perlu keluar daripada PN terlebih dahulu.
“Mahu lawan PAS itu pelik. Kalau betul dia nak lawan, dia tidak boleh duduk dalam PN, BERSATU kena keluar,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, parti itu akan kekal sebagai komponen dalam PN serta menggunakan logo gabungan politik berkenaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos ini.
Beliau berkata, BERSATU tidak boleh disingkirkan daripada PN secara unilateral atau berdasarkan keputusan satu pihak sahaja.
Sementara itu, Mohd Amar berkata, PAS menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan berlangsung antara hujung Oktober hingga November ini.
Katanya, ia berdasarkan perkembangan politik semasa selain desas-desus berhubung perkara berkenaan.
“Tahun ini dijangkakan berlaku PRU16, dalam masa terdekat akan berlaku PRN Johor dan Negeri Sembilan dan selepas itu mungkin PRN Melaka.
“Berkemungkinan selepas PRN Melaka, Parlimen akan dibubarkan kerana banyak tanda-tanda dan desas-desus mengatakan PRU tahun ini, cuma masih berteka-teki dari segi bulan berapa atau tarikh.
“Ada kata Julai selepas Perdana Menteri pulang dari lawatan luar negara, namun pandangan lebih kuat pada penghujung Oktober hingga November.
“Macam mana pun tahun ini akan berlaku PRU. Justeru, kita perlu tingkatkan komitmen dan iltizam selain perkemas kedudukan parti di semua peringkat bagi berdepan kemungkinan PRU,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






