Kuala Lumpur: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) hari ini mengeluarkan kenyataan penuh membabitkan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Malaysia yang mana CAS memutuskan untuk mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain yang terbabit dalam isu pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.
Bagaimanapun, hukuman itu hanya membabitkan larangan beraksi dalam perlawanan rasmi dan tidak meliputi semua aktiviti berkaitan bola sepak.
CAS dalam kenyataan rasmi memaklumkan rayuan yang dikemukakan oleh tujuh pemain terbabit diterima sebahagiannya apabila sekatan dipinda kepada larangan bermain perlawanan sahaja.
Pada masa sama, rayuan gabungan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ditolak dan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) ke atas badan induk bola sepak negara itu kekal berkuat kuasa.
Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Tomas Garces Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Menurut kenyataan CAS, pada 2025 FAM menghubungi tujuh pemain berkenaan dan memaklumkan mereka boleh mendapatkan kewarganegaraan Malaysia secara sah untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Kesemua pemain kemudian menjalani proses naturalisasi sebelum diberikan pasport Malaysia.
“Namun pada 25 September 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM dan pemain terbabit melanggar Kod Tatatertib FIFA (FDC) selepas menggunakan dokumen palsu dalam proses naturalisasi dan kelayakan walaupun tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.
“Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November 2025 yang turut mengesahkan denda CHF350,000 ke atas FAM selain setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,400) serta penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak,” kata kenyataan itu.
FAM dan pemain terbabit kemudian memfailkan rayuan gabungan kepada CAS pada 5 Disember 2025.
“Dalam rayuan itu, FAM mengakui wujud kekurangan dari segi institusi namun menegaskan pemain hanya memainkan peranan terhad dalam menyediakan dokumen yang diminta dan tidak terbabit secara langsung dalam penyediaan atau pengubahsuaian dokumen berkenaan.
“Rayuan FAM turut memohon supaya keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA diketepikan dan denda dikenakan dikurangkan kepada tidak melebihi CHF50,000.
“Sementara itu, rayuan oleh pemain pula memohon agar keputusan berkenaan dibatalkan sepenuhnya atau sekurang-kurangnya hukuman dikurangkan kerana mereka tidak bertindak dengan niat atau kecuaian.
“Kes itu kemudian didengar oleh Panel Timbang Tara CAS yang dipengerusikan Lars Hilliger dari Denmark bersama dua ahli panel iaitu Jose Luis Andrade dari Portugal dan Massimo Coccia dari Itali.
“Perbicaraan secara bersemuka berlangsung pada 26 Februari 2026 di ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland,” katanya.
Selepas meneliti semua bukti, panel CAS memutuskan kesalahan memalsukan dokumen kelayakan memang berlaku dan hukuman penggantungan 12 bulan daripada bermain perlawanan adalah wajar serta setimpal.
Menurut CAS, hukuman itu bagaimanapun hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti bola sepak, sekali gus membolehkan pemain terbabit terus menjalani latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan dengan rayuan oleh pemain sebahagiannya dikekalkan dan sekatan sebahagiannya dipinda.
CAS turut memaklumkan larangan bermain perlawanan berkuat kuasa bermula 5 Mac 2026 dengan mengambil kira tempoh penggantungan dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026 sebagai sebahagian daripada hukuman.
Panel CAS juga memutuskan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM adalah wajar dan seimbang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






