PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kenyataan reformasi tidak berlaku adalah tidak berasas sama sekali.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, agenda reformasi kerajaan sedang berjalan dengan konsisten bukan hanya dalam sehari atau sekadar dalam kenyataan tetapi melalui tindakan yang berstruktur.
“Seperti yang telah dibentangkan Perdana Menteri, melalui kerangka ekonomi Madani, teras utama adalah menaikkan siling yakni memperkukuh kekuatan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terus meningkat.
“Dalam hal ini, Malaysia berjaya merekodkan pelaburan yang diluluskan bagi suku pertama tahun ini iaitu RM89.8 bilion, meningkat 3.7 peratus berbanding tahun lalu meski lanskap global kian mencabar.
“Pelaburan ini akan menjana 1,600 projek baharu di seluruh negara, termasuk lebih 33,000 peluang pekerjaan.
“Selain itu, dalam sektor mikro elektronik dan semi konduktor, Malaysia turut memperoleh RM4.6 bilion potensi pelaburan dan RM507 juta potensi eksport hasil penyertaan di SemiCon Asia Tenggara tahun ini.
“Kesemua pengumuman ini adalah bukti keyakinan pelabur terhadap dasar reformasi negara,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata bahawa reformasi sistem tadbir urus negara adalah proses jangka panjang selain memerlukan kesabaran serta kerjasama merentas gabungan politik, termasuk dari luar Pakatan Harapan (PH).
Jelas Anwar, beliau sedang berusaha sebaik mungkin untuk mendorong perubahan institusi mengikut batasan kuasa sebagai Perdana Menteri.
“Bolehkah anda melakukan reformasi besar-besaran dalam satu, dua atau tiga tahun? Saya tidak tahu.
“Tetapi apa yang saya tahu, tiada jalan untuk berpatah balik. Saya pasti setiap bulan dan setiap tahun mesti ada perkembangan,” katanya.
Tambah Anwar, reformasi bukan boleh dilakukan secara tergesa-gesa tanpa memahami realiti politik semasa.
“Bagi mereka yang tidak sabar dan mahu ia berlaku segera, mereka telah dibutakan oleh fakta dan realiti,” katanya. – UTUSAN