Kepa teruja buru impian bersama Arsenal

Kepa teruja buru impian bersama Arsenal


NAIB juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Arsenal telah mengesahkan perpindahan penjaga gol sensasi, Kepa Arrizabalaga, dari Chelsea dengan nilai £5 juta pound.

Penjaga gol skuad Sepanyol ini menyertai The Gunners melalui perjanjian tiga tahun, setelah menghabiskan musim lalu secara pinjaman bersama Bournemouth, dengan membuat 35 penampilan.

“Saya sangat, sangat gembira berada di sini, sangat teruja dan tidak sabar menantikan apa yang bakal tiba.

“Cita-cita yang ditunjukkan di kelab ini, apabila saya bercakap dengan Mikel (Arteta) dan Inaki (Cana), betapa besarnya keinginan mereka untuk menang. Saya rasa kami sangat hampir untuk menang dan, semoga, bersama-sama, kami boleh mencapainya,” ujar Kepa.

Penjaga gol berusia 30 tahun ini masih memegang rekod sebagai penjaga gol termahal di dunia, setelah berpindah ke The Blues pada tahun 2018 dari kelab asalnya, Athletic Bilbao, dengan nilai £71 juta pound.

Ketibaannya Kepa di Stadium Emirates dijangka akan menyemarakkan persaingan sengit dengan rakan senegaranya, David Raya.

Mengenai Raya, Kepa berkata: “Penjaga gol yang hebat. Kami mempunyai hubungan yang sangat baik, kami berkongsi pasukan kebangsaan. Kami akan bersaing, kami akan berlatih bersama.

“Kami akan mempunyai persaingan, seperti di semua posisi dalam pasukan, tetapi dengan satu-satunya matlamat iaitu untuk menang dan menjadi yang terbaik.”

Musim 2024/25 menyaksikan Neto berada di Arsenal secara pinjaman dari Cherries, namun kelab London Utara itu memilih untuk tidak menandatangani pemain Brazil itu secara tetap.

Kepa telah beraksi sebanyak 163 kali untuk Chelsea dan merupakan sebahagian daripada skuad yang menjuarai Liga Juara-Juara, Liga Europa, dan Piala Dunia Kelab.

Beliau juga pernah menghabiskan setahun secara pinjaman di Real Madrid, membantu kelab gergasi Sepanyol itu memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara sepanjang musim 2023/24.



Source link

OR

Scroll to Top