FENOMENA ‘perebutan kuasa’ dalam kalangan kepimpinan persatuan sukan kebangsaan kebelakangan ini perlu ditangani secara matang dan profesional agar tidak menjejaskan kelestarian pembangunan sukan tanah air.
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias, menegaskan bahawa meskipun wujud sisi positif apabila wujudnya minat, khususnya daripada generasi muda untuk tampil memimpin badan-badan sukan, proses perubahan kepimpinan perlu berjalan secara beretika dan berhemah.
“Kecenderungan generasi baharu untuk mempamerkan bakat kepimpinan merupakan perkembangan yang sihat. Ia membuka ruang kepada persaingan idea dan suntikan visi baharu demi kemajuan sukan negara,” katanya.
Namun begitu, beliau melahirkan kebimbangan apabila trend semasa menunjukkan terdapat usaha meraih kuasa dengan cara yang tidak sihat, termasuk amalan tidak beretika seperti penyebaran fitnah, kekasaran, serta ketiadaan prinsip ‘fair play’ dalam proses pemilihan.
“Perubahan kepimpinan tidak seharusnya dicemari unsur kekasaran, tuduhan tidak berasas mahupun sikap ekstrem yang menjatuhkan sesama sendiri.
“Kepimpinan sukan perlu ditangani secara matang, berakhlak dan berpaksikan nilai profesionalisme,” katanya.
Sebagai rekod, beberapa persatuan sukan kebangsaan telah dan bakal mengadakan pemilihan kepimpinan baharu masing-masing dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar setiap persatuan sukan kebangsaan menggubal satu pelan strategik peralihan kepimpinan (succession plan) yang tersusun dan inklusif bagi menjamin kesinambungan tadbir urus yang mantap dan berkesan.
“Pelan peralihan ini penting agar tiada kelompangan dalam kepimpinan, dan ia juga membantu mencungkil serta mempersiapkan pelapis yang berwibawa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa jawatan pemimpin dalam sesebuah persatuan sukan bukanlah medan menunjuk ego atau pengaruh semata-mata, sebaliknya satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh keikhlasan dan integriti.
“Kepimpinan sukan memerlukan komitmen tinggi serta visi dan misi yang jelas dan realistik demi kemajuan jangka panjang. Ia bukan sekadar pengaruh, tetapi satu tanggungjawab terhadap seluruh komuniti sukan negara,” katanya.