am@hmetro.com.my
Marang: Seramai 79 banduan Penjara Marang, di sini, dilepaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Madani Yakin sempena Aidilfitri.
Daripada jumlah itu, 17 banduan atau prospek dibenarkan pulang bersama keluarga, manakala 62 lagi ditempatkan bersama majikan melalui program penempatan pekerjaan yang diselaraskan pihak penjara.
Timbalan Pengarah Penjara Marang, Penguasa Penjara Fandika Shafruddin berkata, program bertemakan “Kepulangan Yang Dinanti” itu adalah inisiatif Jabatan Penjara Malaysia dalam memberi peluang kedua kepada prospek menjalani baki hukuman di luar tembok penjara.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan prospek menyesuaikan diri dengan kehidupan sebenar selain meneruskan proses pemulihan bersama komuniti.
”Melalui PBSL, prospek diberi peluang bekerja dan membina kehidupan lebih stabil, sekali gus mengelakkan mereka kembali melakukan kesalahan sama,” katanya.
Beliau berkata, penempatan prospek dilaksanakan menerusi konsep Corporate Smart Internship (CSI) dengan kerjasama pelbagai sektor termasuk perkilangan, pelancongan dan industri lain sebagai rakan strategik Jabatan Penjara.
Katanya, program itu turut membuka peluang pekerjaan sah kepada prospek, sekali gus membantu pemulihan dari segi sosial dan ekonomi.
”Majoriti prospek yang dilepaskan membabitkan kesalahan ringan, khususnya kes berkaitan dadah seperti Seksyen 15 dan Seksyen 12 (Akta Dadah Berbahaya 1952).
”Kebanyakan mereka menjalani hukuman jangka pendek iaitu kurang tiga tahun dan majoritinya adalah pesalah kali pertama,” katanya.
Menurutnya, terdapat juga segelintir prospek dengan kesalahan berulang namun tetap diberi peluang untuk berubah melalui program berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya berharap semua prospek yang dilepaskan dapat memanfaatkan peluang diberikan serta kembali menjadi individu produktif dalam masyarakat.
”Kita mahu mereka pulih sepenuhnya dan kembali kepada masyarakat sebagai insan yang lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





