PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan kekalahan 0-2 kepada Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford satu keputusan yang buruk.
Bagaimanapun bekas pengendali kelab liga Portugal, Sporting Lisbon itu mengakui terdapat perkembangan positif dari aspek prestasi berbanding perlawanan sebelum ini.
“Keputusannya sungguh teruk, tetapi prestasinya agak sedikit lebih baik daripada perlawanan lalu.
“Kami berjaya mengawal peralihan permainan dengan cukup baik ketika berdepan Crystal Palace,” katanya.
Prestasi buruk United di tempat sendiri musim ini berterusan apabila tewas kepada Palace ketika Amorim berusaha memastikan anak buahnya di landasan mengejar kemenangan keempat berturut-turut dalam semua pertandingan.
Penyerang The Eagles, Jean-Philippe Mateta memastikan Palace keluar sebagai pemenang apabila dua golnya membenam United, 2-0 dalam aksi liga di Stadium Old Trafford pada Ahad.
Mateta membuktikan ketajaman penyudah apabila meledak jaringan minit ke-64 dan m-89 untuk melebarkan rekod lapan perlawanan tanpa kalah liga di tempat lawan, Eagles kendalian Oliver Glasner.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan melakar keputusan seri tanpa jaringan ketika perlawanan di Stadium Selhurst Park pada 22 September lalu.
Mengenal kekecewaan penyokong The Red Devils, Amorim berkata, adalah perkara biasa bagi penyokong untuk berasa negatif, ia adalah musim yang sukar bagi mereka tetapi bola sepak boleh berubah pada saat-saat tertentu.
“Saya akan menyediakan pasukan yang mantap untuk perlawanan seterusnya dan bergerak ke hadapan. Perkara yang lebih baik akan datang,” kata Amorim.
Amorim masih belum merasai kemenangan liga berturut-turut sejak mengambil alih tugas daripada Erik ten Hag pada akhir November.