am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 akan dikeluarkan pada 5 Februari ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 4,443 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM Tahun 2025 di 135 pusat peperiksaan di seluruh negara.
“Calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan STAM Tahun 2025 daripada sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi pada tarikh berkenaan.
“Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan bagi mendapatkan keputusan peperiksaan,” katanya.
KPM berkata, pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan STAM Tahun 2025 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur.
Sementara itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah dalam talian menerusi pautan myresultstam.moe.gov.my bagi mendapatkan slip keputusan peperiksaan STAM Tahun 2025 mulai jam 10 pagi, 5 Februari hingga 6 petang, 11 Februari ini.
“Semakan turut boleh dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STAM NoKP AngkaGiliran dan hantar ke 15888.
“Sistem SMS ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi, 5 Februari hingga 6 petang, 11 Februari,” katanya.
Selain itu, KPM turut mengucapkan tahniah kepada semua calon peperiksaan STAM Tahun 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd






