Keputusan turun kandungan media sosial boleh dicabar

Keputusan turun kandungan media sosial boleh dicabar



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi akan mewujudkan platform yang membolehkan pemilik akaun memfailkan aduan bagi mencabar tindakan menurunkan sebarang kandungan atau entri di media sosial masing-masing.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata platform itu antara lain membolehkan pemilik akaun memfailkan pembelaan dan alasan bagi mempertahankan setiap kandungan atau entri masing-masing daripada diturunkan.

Inisiatif itu katanya, bertujuan memastikan semua kuasa berkenaan penurunan sebarang kandungan di media sosial tidak berpusat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), sekali gus mewujudkan elemen semak imbang.

“Ini sekali gus membolehkan sebarang keputusan MCMC (menurunkan kandungan di media sosial) dicabar di dalam tribunal,” katanya pada Sesi Pertanyaan bagi Soalan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai kebimbangan proses pendaftaran penyedia perkhidmatan digunakan sebagai alat kerajaan untuk menurunkan kandungan kurang disenangi, terutama ketika pilihan raya.

Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Teo berkata, MCMC akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras salah laku dan jenayah dalam talian.

Katanya, kerjasama turut dijalinkan dengan Kementerian Kesihatan bagi membanteras penjualan produk tidak mendapat kelulusan di platform e-dagang.

“Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna apabila ada aduan atau kes penyalahgunaan hak cipta atau cap dagangan dan paten.

“kita sentiasa bekerjasama dengan semua penguat kuasa tetapi kalau mahu ‘go after’ pemilik akaun yang memerlukan kerjasama penyedia platform.

“Ini kerana MCMC tidak dapat mengenal pasti pemilik akaun tanpa kerjasama mereka.

“Maklumat mengenai alamat IP dimiliki penyedia platform dan kerana inilah sangat penting untuk memastikan penyedia platform bekerjasama dengan semua pihak penguat kuasa bagi mengatasi jenayah dalam talian secara efektif dan berkesan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top