Brasilia: Penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk melayangkan kad merah kepada pemain Flamengo, Jorge Carrascal, sebaik separuh masa kedua bermula bagi insiden yang berlaku sebelum rehat, mencetuskan persoalan baharu mengenai penggunaannya pada perlawanan Piala Super Brazil, di Stadium Mane Garrincha.
Keputusan luar biasa itu dibuat selepas pemain Corinthians membantah keras dakwaan siku Carrascal mengenai muka Breno Bidon sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.
Pemain tengah Corinthians itu terbaring di padang selama beberapa minit ketika rakan sepasukan menuntut semakan VAR yang tidak berlaku ketika itu.
Kedua-dua pasukan kemudian masuk ke bilik persalinan dengan andaian isu berkenaan sudah selesai.
Namun, pengadil Rafael Klein mengejutkan semua yang hadir apabila menuju ke bilik VAR sebaik pemain kembali untuk separuh masa kedua, sebelum memutuskan berlaku unsur kekasaran dan melayangkan kad merah kepada pemain tengah Colombia itu, sekali gus membuatkan kem Flamengo terkejut.
Keputusan itu mencetuskan kemarahan pemain Flamengo yang percaya sebarang semakan sepatutnya dilakukan ketika separuh masa pertama.
Corinthians seterusnya menang 2-0 menerusi jaringan Gabriel Paulista dan Yuri Alberto untuk menjulang trofi.
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti itu sepanjang hidup saya.
“Saya tidak tahu sama ada ia pernah berlaku di tempat lain. Pemain menunggu di padang dan masuk ke bilik persalinan seolah-olah insiden itu sudah disemak. Kami menyediakan keseluruhan pelan untuk bermain 11 lawan 11, kemudian perkara itu berlaku… saya tidak mahu mencari alasan atas kekalahan, tetapi saya tidak pernah melihat situasi seperti ini sebelum ini,” kata pengurus Flamengo, Filipe Luis, bekas pertahanan Chelsea dan Atletico Madrid.
Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) kemudian menyalahkan masalah elektrik sebagai punca kelewatan luar biasa itu.
Menurut CBF, gangguan bekalan kuasa menjejaskan beberapa bahagian stadium ketika rehat, termasuk bilik pejabat video, yang tidak berfungsi untuk sebahagian besar separuh masa kedua.
“Pada awalnya, imej yang ada tidak memberikan bukti konklusif, sebab itu separuh masa pertama berakhir seperti biasa.
“Ketika prosedur masih berjalan, semakan baharu membolehkan pelanggaran dikenal pasti dengan jelas, sekali gus membawa kepada cadangan semakan agar pengadil dapat menilai dan seterusnya melayangkan kad merah kepada pemain,” jelas CBF dalam satu kenyataan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






