Kerajaan bakal perkenal pelan MHIT, tangani kos penjagaan kesihatan swasta

Kerajaan bakal perkenal pelan MHIT, tangani kos penjagaan kesihatan swasta


razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan bakal memperkenalkan pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) asas dengan kadar premium serendah RM80 sebulan bagi pelan standard sebagai usaha menangani kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin meningkat.

Ketetapan itu diputuskan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS)yang dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini.

Terdahulu, JBMKKS bersetuju dengan empat inisiatif penting bagi menangani kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin meningkat.

Inisiatif itu adalah penerbitan kertas putih mengenai Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (Medical and Health Insurance/Takaful (MHIT) asas, pelancaran bantuan untuk pengguna membuat keputusan, penerbitan kos rawatan perubatan dan

insentif cukai bagi dana kebajikan hospital swasta.

Berdasarkan kertas putih pelan asas MHIT yang dikongsikan di laman web Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah itu ditetapkan sehingga RM120 bagi individu berusia 31 hingga 35 tahun bagi pelan standard.

Bagi individu berusia 61 hingga 65 tahun, MHIT memperkenalkan premium bulanan pelan standard berharga RM280 hingga RM350. Manakala individu yang melebihi usia 75 tahun akan membayar premium bulanan bermula RM500 hinggga RM780 sebulan,” katanya

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelan itu dijangka berada di pasaran pada awal 2027 selepas pelaksanaan rintis pada separuh kedua 2026.

“Pelan MHIT asas adalah langkah yang sangat penting ke arah memperluas akses kepada perlindungan yang berterusan.

“Ia juga bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan kewangan tahap asas untuk menghadapi perbelanjaan penjagaan kesihatan penting dan berimpak tinggi,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta di sini, hari ini.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, pelan MHIT asas diperkenalkan untuk memberikan pilihan kepada pesakit.

“Dengan memastikan perlindungan swasta mampu milik, lebih banyak rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan swasta, sekali gus dapat memperkukuh peranan pelengkap antara sektor awam dengan sektor swasta,” katanya.

Inisiatif yang diumumkan hari ini adalah sebahagian daripada strategi RESET iaitu usaha kolaboratif antara Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia, ahli akademik dan pihak berkepentingan utama daripada sektor swasta.

Ia bertujuan menangani inflasi tuntutan perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan Malaysia supaya dapat diakses dengan lebih mudah, lebih banyak pilihan dan lebih mampan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top