Kerajaan beri komitmen berterusan perkukuh sektor pertanian, agromakanan negara

Kerajaan beri komitmen berterusan perkukuh sektor pertanian, agromakanan negara

Kerajaan beri komitmen berterusan perkukuh sektor pertanian, agromakanan negara


hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan memberikan komitmen berterusan untuk memperkukuh sektor pertanian dan agromakanan negara sebagai tunjang keselamatan makanan, pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada penggubalan dasar dan pelaksanaan program, malah turut menekankan usaha memperkukuh rantaian nilai pertanian, meningkatkan produktiviti, menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi serta memastikan penyertaan inklusif semua lapisan masyarakat dalam sektor berkenaan.

“Dengan inisiatif seumpama ini, ia melengkapkan lagi ekosistem sokongan melalui pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembabitan golongan wanita dan belia, galakan inovasi serta pembukaan peluang ekonomi kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

“Saya yakin melalui sinergi erat antara kerajaan, institusi kewangan dan pemain industri, sektor pertanian negara akan terus diperkasa sebagai tunjang keselamatan makanan dan kesejahteraan rakyat,” katanya pada majlis Agro Biz Awards 2025 di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Agro Biz Awards 2025 menghargai dan mengiktiraf kejayaan usahawan tani dari seluruh negara dalam memacu kemajuan sektor agromakanan serta menyokong aspirasi pertanian yang mampan dan berimpak tinggi.

Agro Biz Awards 2025 dirangka khusus untuk mengiktraf usahawan yang cemerlang merentasi pelbagai segmen dalam sektor tani.

Ia mempertandingkan lima kategori utama iaitu Agrobank SME of The Year, Agrobank Biz Women Award, Agrobank Biz Youth Award, Agrobank Biz Innovation Award dan Agrobank Biz Disability Empowerment Award, yang merangkumi pengiktirafan kepada PKS, wanita, belia, inovator serta usahawan OKU.

Menerusi acara itu, Aqina Fruits Sdn Bhd dinobatkan sebagai juara Agrobank SME of The Year dengan hadiah wang tunai RM10,000. Manakala Awang Ngah Edar Sdn Bhd merangkul gelaran juara Agrobank Biz Women Award dan Al-Amin Barokah muncul juara Agrobank Biz Youth Award dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM6,000.

Sementara itu, Vivendi Asset Sdn Bhd memenangi Agrobank Biz Innovation Award dengan hadiah RM6,000, manakala Rezeki Ternak Enterprise dinobatkan sebagai juara Agrobank Biz Disability Empowerment Award dengan hadiah wang tunai RM6,000.

Tengku Ahmad Badli berkata, penganjuran anugerah itu menerima sambutan amat menggalakkan, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi usahawan tani dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara. Sebagai penghargaan, Agrobank menawarkan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM70,000 kepada para pemenang.

“Kategori yang diketengahkan adalah bersifat inklusif dan merangkumi pelbagai latar belakang, termasuk wanita, belia dan OKU, sejajar dengan prinsip tiada sesiapa yang tertinggal.

“Pengenalan kategori inovasi pula bertujuan menggalakkan kreativiti, penyelesaian berasaskan teknologi dan pendekatan baharu dalam operasi perniagaan tani,” katanya.

Tambahnya, Agrobank turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang tersenarai dalam pencalonan anugerah, selain mengucapkan tahniah kepada para pemenang yang diumumkan.

“Penyertaan mereka disifatkan sebagai pemangkin kepada semangat inovasi dan pembangunan keusahawanan agro tempatan.

“Melalui platform ini, Agrobank menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong transformasi perusahaan tani, mengetengahkan kejayaan luar biasa usahawan serta memperkasa ekosistem agromakanan negara demi pertumbuhan ekonomi yang mampan dan keselamatan makanan jangka panjang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top