Kerajaan dedah draf MoU peruntukan pembangkang

Kerajaan dedah draf MoU peruntukan pembangkang


KUALA LUMPUR- Kerajaan hari ini mendedahkan kandungan penuh dua draf Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang sebagai bukti ketelusan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan MoU tersebut.

“Memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media berhubung MoU berkenaan maka dengan ini, saya kemukakan dua draf MoU berkenaan kepada pihak media untuk membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Hamzah berkata semua Ahli Parlimen PN sebulat suara menolak MoU berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Katanya, keputusan itu diambil atas empat faktor antaranya ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.

Sementara itu, Fadillah menjelaskan, niat utama MoU berkenaan adalah untuk mewujudkan suasana harmoni di Dewan Rakyat di mana semua Ahli Parlimen dapat lebih memfokus kepada usaha pemulihan ekonomi serta memainkan peranan lebih konstruktif dalam menjalankan tugas semak dan imbang.

“Ini penting supaya kita dapat menumpukan sepenuh tenaga kita dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia” katanya.

Beliau juga berkata inti pati utama MoU itu termasuk tempoh kuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau pada 19 Dis 2027, peranan pembangkang sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab serta ketelusan tanpa sebarang klausa kerahsiaan.

Tambah beliau, menerusi pendedahan MoU itu, rakyat boleh menilai sendiri kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Kerajaan tunggu surat rasmi pembangkang tolak draf MoU Peruntukan – Fadillah



Source link

OR

Scroll to Top