Kerajaan digesa wujud peraturan khas larang campur beras putih

Kerajaan digesa wujud peraturan khas larang campur beras putih



lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Orang ramai dan persatuan pengguna menggesa kerajaan segera mewujudkan peraturan khas melarang pengilang daripada mencampur beras putih tempatan (BPT) dengan beras putih import (BPI).

Ia susulan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada semalam, mendedahkan sekitar 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel ‘beras import’ yang dirampas dari kilang mengandungi varieti BPT.

Peniaga nasi lemak, Nurul Atikah Zamhari, 30, berkata kegiatan kilang mencampurkan beras adalah suatu tindakan tidak jujur dan memperdaya pengguna.

Menurutnya, akibat bekalan BPT masih sukar diperoleh di pasaran, dia terpaksa membeli BPI yang lebih mahal semata-mata untuk terus berniaga.

“Harga sekampit BPT adalah RM26 bagi 10 kilogram (kg), sekampit BPI pula RM35 hingga RM40 iaitu perbezaan RM11 ke RM14 yang amat membebankan.

“Kegiatan mencampurkan beras ini hanya menguntungkan pihak tertentu atas penganiayaan terhadap orang ramai.

“Saya harap kerajaan perkenalkan peraturan larangan mencampur BPT dengan BPI dan ambil tindakan yang tegas terhadap kilang yang ingkar,” katanya ketika ditemui di Pasar Datuk Keramat, hari ini.

Bagi peniaga nasi ayam, Muhamad Azwar Alif, 28, kualiti ‘beras import’ yang ada di pasaran ketika ini meragukan terutama selepas pendedahan Mardi.

“Sudah dua tahun isu kekurangan bekalan beras tempatan berlarutan.

“Kita di Malaysia ini banyak sawah padi, jadi sepatutnya BPT banyak dah mudah diperoleh, tetapi sekarang ini pergi pasar memang semua beras import. Entah mana hilang beras tempatan.

“Akibat kos beras meningkat, ada peniaga yang terpaksa jual nasi putih dengan harga RM2 berbanding RM1 sebelum ini,” katanya.

Muhamad Azwar berkata, kerajaan harus menghalang pengilang daripada mencampurkan BPT dengan BPI menerusi peraturan baharu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff menyifatkan pendedahan Mardi membuktikan bahawa ada unsur ‘jenayah’ dan penyelewengan dalam pembungkusan beras.

“Beras tempatan dicampur dengan beras import dan dijual pada harga BPI yang lebih mahal, akibatnya pengguna teraniaya.

“Selama dua tahun, pengilang mengaut untung yang berlebihan dengan menipu pengguna,” katanya ketika dihubungi.

Sebagai langkah awal, beliau mencadangkan kerajaan supaya melakukan pemeriksaan terhadap kilang beras bagi menyemak sama ada mereka memilik Permit Import (AP) untuk pengimportan beras.

“Adakah kilang-kilang tempatan ini kesemuanya ada AP beras import? Yang kita tahu AP beras import ada hadnya.

“Hari ini berlaku penyelewengan yang sangat nyata dan tiada tangkapan yang dibuat selama dua tahun ini.

“Kita harap supaya ada tindakan tegas diambil untuk mengembalikan kepercayaan pengguna dan rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Susulan itu, Mohamad Yusrizal menggesa kerajaan supaya mengenakan kompaun ke atas kilang yang didapati menipu gred beras mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

“Tindakan juga harus diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 kerana memanipulasikan pengguna,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top