KUALA LUMPUR – kerajaan masih gagal menjelaskan mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi petrol RON95 walaupun kajian secara terperinci mengenainya telah dijalankan selama dua tahun.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, ia telah menimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak khususnya rakyat yang akan terkesan secara langsung.
“Penyasaran subsidi, menteri akui sudah dua tahun buat kajian, maknanya jelas umum dulu baru kaji. Namun sehingga hari ini, mekanisme pelaksanaan masih samar, siapa yang layak dan masih misteri.
“Yang terbaharu rakyat Malaysia tahun depan perlu imbas kad pengenalan sebelum isi RON95, ada harga dua peringkat untuk produk yang sama jika layak kita bayar harga bersubsidi jika tidak layak maka kita perlu bayar harga tanpanya.
“Bagaimana pelaksanaan di pihak pengusaha, syarikat minyak ini belum jelas yang pasti akan dilaksanakan pertengahan tahun depan,” kata Ahli Parlimen Pakatan Nasional itu pada sesi penggulungan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengenai Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut Mohd Syahir, reformasi ekonomi yang diperjuangkan kerajaan ibarat ‘tikus membaiki labu’ kerana tidak berlandaskan kehidupan rakyat yang terjejas akibat peningkatan kos sara hidup.
“Kita dapat lihat hala tuju dasar yang bercanggah, tindakan yang tersasar malah beberapa keputusan pelaburan yang tidak patriotik membenarkan pemilikan asing kepada aset-aset strategik antaranya lapangan terbang dan terbarunya, polemik 5G sistem telekomunikasi negara.
“Inflasi dan kos sara hidup dipilih data rasmi, dicanang inflasi rendah keluhan rakyat dinafi, keluhan peniaga tidak diendah. Kalau kita tanya di lapangan 100 pembeli, 100 peniaga jawapan diberi pasti tidak sama dengan jawapan YB (Rafizi).
“Menteri sebut harga barang tidak naik, inflasi stabil 1.9 peratus tetapi rakyat, peniaga tidak rasa,” jelasnya.
Menurut Syahir, unjuran inflasi tahun depan mencecah ke paras 3.5 peratus merupakan tertinggi dalam tempoh lapan tahun, tahun terakhir pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Katanya, unjuran itu menunjukkan pemansuhan GST gagal mengawal inflasi.
Semalam, Rafizi berkata, kementeriannya sedang memperhalusi kriteria penyasaran subsidi petrol RON95 sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.
Rafizi berkata, sejak pertukaran kerajaan pada 2018, inflasi makanan dan minuman rendah direkodkan pada Julai iaitu 0.7 peratus serta kekal rendah hingga Mei 2019 sebelum meningkat kepada 1.2 peratus, kesan daripada penghapusan GST. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL