September 8, 2024

Kerajaan gesa badan korporat bangun pelan hala tuju kelestarian

Kerajaan gesa badan korporat bangun pelan hala tuju kelestarian


SERDANG – Kerajaan menggesa semua organisasi terutama badan korporat untuk membangunkan pelan hala tuju kelestarian dalam usaha negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, badan korporat seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat-syarikat besar perlu berganding bahu dan membuat inisiatif untuk memenuhi komitmen kerajaan.

“Tiada apa yang mustahil jika kita semua berganding bahu untuk mencapai matlamat itu.

“Ya, ini bukanlah satu hal yang mudah tetapi kita perlulah komited untuk memastikan kemakmuran negara dan generasi akan datang selain mengukuhkan kemampanan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara,” ucapnya.

Fadillah berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Rangka Kerja Kelestarian FGV Holdings Berhad (FGV) sempena Hari Peneroka Felda 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memuji FGV kerana komited dalam melahirkan rangka kerja itu.

“Ini telah membuktikan komitmen mereka dalam memastikan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terus terjaga.

“Usaha kecil ini membawa makna yang sangat besar kerana ia secara tidak langung membuka langkah untuk kita luaskan lagi, sekaligus membolehkan negara dan rakyat mendapat manfaat.

“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan semua agensi di bawahnya boleh bekerjasama untuk membangunkan ekonomi kitaran bagi rantaian bekalan ekonomi perladangan ini,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Musa berkata, rangka kerja ini bukan sekadar dokumen tetapi ia merupakan panduan bagi organisasi itu membuat keputusan strategik. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top