Kerajaan Johor gesa FAM segerakan rangka kerja keselamatan kejohanan bola sepak

Kerajaan Johor gesa FAM segerakan rangka kerja keselamatan kejohanan bola sepak

Kerajaan Johor gesa FAM segerakan rangka kerja keselamatan kejohanan bola sepak


JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewujudkan satu rangka kerja keselamatan melibatkan kejohanan bola sepak termasuk anjuran peringkat akar umbi bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, pihaknya difahamkan satu rangka kerja berkaitan sedang dibangunkan agensi berkenaan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Katanya, inisiatif itu perlu diperkenalkan segera untuk mewujudkan langkah-langkah keselamatan bagi sesebuah kejohanan bola sepak, termasuklah acara persendirian.

“Peraturan keselamatan perlu diambil kira daripada pelbagai sudut, termasuklah penyediaan anggota paramedik sepanjang kejohanan berlangsung.

“Kami menyambut baik rangka kerja yang sedang dibangunkan ini dan berharap pelaksanaannya dapat disegerakan supaya insiden seperti pemergian seorang murid semasa kejohanan bola sepak baru-baru ini dapat dicegah pada masa depan,” katanya selepas menziarahi keluarga mangsa di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini hari ini.

Tambah Dr. Muhammad Naqib, pihaknya maklum berhubung kejadian tersebut walaupun ia tidak dianjurkan mana-mana agensi kerajaan sama ada Pejabat Pendidikan Daerah, mahupun Jabatan Pendidikan Negeri.

“Kerajaan negeri terpanggil untuk menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan keduanya, untuk menyeru semua agensi yang berkaitan termasuk FAM dan pakar-pakar yang terlibat membangunkan satu sistem menambah baik proses serta mencegah insiden sedemikian daripada berulang.

“Dalam acara sukan, impak atau tahap sesuatu kecederaan mungkin berbeza berbanding dengan permainan santai. Oleh sebab itu, satu rangka kerja yang baik amat diperlukan untuk memastikan langkah pencegahan yang lebih berkesan,” katanya.

Tambah beliau, rangka kerja keselamatan tersebut bagaimanapun perlu merangkumi pelbagai acara sukan terutamanya yang berisiko tinggi seperti ragbi kerana mendedahkan pesertanya kepada risiko kecederaan kepala.

Pada 18 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun dilaporkan rebah ketika bermain bola sepak dalam satu kejohanan sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top