May 20, 2024

Kerajaan kena berterus terang mengenai titah adendum – Veteran UMNO


KUALA LUMPUR – Veteran UMNO menuntut kerajaan  supaya berterus terang dalam isu Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, langkah itu perlu bagi mengelak kekeliruan dan syak wasangka rakyat terhadap titah berkenaan yang bersetuju supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikenakan tahanan rumah.

“Sekiranya benar adanya adendum itu maka Veteran UMNO menuntut supaya ianya dilaksanakan. Adendum itu dibuat pada ketika itu oleh Al-Sultan Abdullah yang ketika itu masih Yang di-Pertuan Agong dan adendum itu adalah haknya sebagai Agong yang misti dilaksanakan oleh kerajaan dan penjawat yang diamanahkan.

“Keengganan melaksanakannya atau menyembunyikannya adalah satu pengkhianatan dan penderhakaan kepada Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Veteran UMNO itu mengulas laporan media Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disahkan sebagai ‘saksi kritikal’ yang ikrar sokongannya kepada permohonan Najib.

Najib yang juga mantan Perdana Menteri ketika ini sedang cuba mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Difahamkan Titah Adendum itu telah dibuat pada 29 Januari 2024 membolehkan Najib menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, kesanggupan Ahmad Zahid untuk menandatangani affidavit yang beliau pernah melihat adendum itu bersama Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz lebih menguatkan lagi wujudnya adendum tersebut.

“Ia diperkuatkan lagi apabila (Datuk Seri) Wan Rusydi Wan Ismail juga pernah dan ada melihatnya. Justeru itu, Veteran UMNO mahu kerajaan menjelaskan dengan telus dan berterus terang tanpa menyembunyikan fakta.

“Kalau ‘ya’ maka Veteran UMNO menuntut ia dilaksanakan. Kalau ‘tidak’ maka perjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

“Veteran percaya dua orang menteri Kabinet yang menjadi ahli kepada Jawatankuasa Pengampunan itu tahu cerita sebenarnya. Mereka (kerajaan) mesti berterus terang. Jangan biarkan rakyat berteka teki yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan,” jelas beliau lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top