zaky@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan masih menanggung beban subsidi bahan api antara RM1,500 hingga RM1,700 sesaat pada harga minyak semasa susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global yang dipengaruhi konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan fiskal negara.
MBSB Research berkata, kesan konflik itu kini semakin jelas terhadap belanjawan negara apabila kerajaan terpaksa menyesuaikan perbelanjaan operasi bagi menampung peningkatan kos subsidi bahan api yang jauh melebihi andaian asal ketika Belanjawan 2026 disediakan.
Menurut firma penyelidikan itu, pada April 2026, kerajaan perlu menanggung subsidi bahan api pada kadar kira-kira RM2,300 sesaat sebelum berkurangan kepada sekitar RM1,500 hingga RM1,700 sesaat, namun kadar itu masih disifatkan tidak mampan dalam keadaan semasa.
“Memandangkan kerajaan tidak dibenarkan menjalankan defisit akaun semasa dan pinjaman hanya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan, perbelanjaan operasi harian perlu dibiayai sepenuhnya melalui hasil semasa kerajaan.
“Keadaan itu memaksa kerajaan mengurangkan peruntukan operasi sedia ada bagi menampung jurang subsidi yang semakin melebar,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
MBSB Research berkata, sektor pendidikan dan kesihatan menjadi antara sasaran awal langkah penjimatan memandangkan kedua-duanya merupakan portfolio terbesar di bawah Belanjawan 2026.
Katanya, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan RM66.2 bilion manakala Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak RM46.5 bilion, dengan peruntukan kedua-dua kementerian itu mencatat pertumbuhan dua angka sejak Belanjawan 2023.
Firma penyelidikan itu berkata, cadangan pengurangan 10 peratus peruntukan KKM menerima bantahan pelbagai pihak termasuk pertubuhan kesihatan yang berpandangan langkah berkenaan boleh menjejaskan struktur asas sistem penjagaan kesihatan negara.
Katanya, kumpulan yang bergantung kepada kemudahan kesihatan bersubsidi seperti golongan B40, warga emas dan pesakit penyakit kronik dijangka menerima kesan paling besar sekiranya pengurangan peruntukan membabitkan operasi barisan hadapan serta bekalan ubat-ubatan penting.
Justeru, MBSB Research berkata, KKM menggariskan 10 langkah penjimatan termasuk pembekuan jawatan baharu, pengurangan perjalanan rasmi, pengoptimuman pendigitalan, penggunaan ubat generik sebagai pilihan utama serta kawalan lebih ketat terhadap ujian makmal dan diagnostik.
Katanya, antara langkah yang menimbulkan kebimbangan ialah pembekuan pengambilan pekerja dan kawalan ketat tuntutan kerja lebih masa yang berpotensi menjejaskan keupayaan hospital menangani kekurangan kakitangan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Doktor, paramedik, pembantu perubatan dan pemandu ambulans menjadi antara kumpulan yang mungkin terkesan secara langsung jika kerja lebih masa dihadkan secara ketat. Langkah itu boleh menyebabkan gangguan perkhidmatan dan meningkatkan tekanan terhadap petugas kesihatan sedia ada,” katanya.
Firma penyelidikan itu turut berpandangan, pengurangan peruntukan kesihatan bagi menampung subsidi bahan api bukan penyelesaian jangka panjang kerana perbelanjaan penjagaan kesihatan berfungsi sebagai pelaburan produktif yang menyokong kesejahteraan tenaga kerja negara.
Katanya, pengurangan peruntukan bagi program pencegahan penyakit boleh menyebabkan kos rawatan lebih tinggi pada masa depan termasuk peningkatan keperluan rawatan dialisis, kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) serta rawatan kanser.
Pada masa sama, MBSB Research berkata, terdapat cadangan alternatif bagi menjana hasil tambahan kerajaan termasuk menaikkan cukai eksais rokok, memperluaskan penggunaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) untuk subsidi bersasar serta mengenakan cukai pembetulan terhadap produk yang memberi kesan kepada kesihatan awam.
Katanya, berdasarkan anggaran penggunaan 18 hingga 20 bilion batang rokok setahun, kenaikan cukai sebanyak 30 sen bagi setiap batang rokok berpotensi menjana hasil tahunan antara RM5.5 bilion hingga RM6 bilion, sekali gus mampu mengimbangi sepenuhnya pengurangan peruntukan yang dicadangkan.
“MBSB Research berpandangan pengurangan belanjawan kesihatan sebanyak 10 peratus mewakili kompromi berisiko tinggi yang dipacu oleh konflik geopolitik global dan kekangan fiskal domestik.
“Walaupun langkah penjimatan pentadbiran seperti pengurangan perjalanan, penggunaan tenaga secara cekap dan pendigitalan dokumen boleh dilaksanakan, pengurangan yang menjejaskan operasi klinikal disifatkan sukar dikekalkan dalam jangka panjang kerana berpotensi menjejaskan keupayaan sistem kesihatan awam memenuhi permintaan yang terus meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






