Kerajaan negeri bangga dengan pencapaian Tun Ali

Kerajaan negeri bangga dengan pencapaian Tun Ali


sukan@hmetro.com.my

Melaka: Kerajaan negeri Melaka mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam yang menerima Anugerah Tokoh Sukan Negara pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 Isnin lalu.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata Kerajaan Negeri menzahirkan rasa bangga dan bertuah atas pemilihan Tun sebagai penerima pengiktirafan berprestij berkenaan.

Katanya, sumbangan Tun memacu Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Persatuan Silat Malaysia (PESAKA) hingga lebih dikenali di peringkat antarabangsa sememangnya amat menarik dan tidak disangkal atas corak kepimpinannya.

“Malah Tun juga menerajui MAKAF selama 13 tahun dan kini dilantik sebagai penaung badan induk itu. Sementara itu di peringkat antarabangsa, Tun turut dinobatkan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF).

“Dalam masa sama pelbagai kejayaan diraih skuad karate negara sepanjang kepimpinannya termasuk beberapa kali negara meraih pingat emas pada temasya sukan bertaraf antarabangsa,”katanya.

Shanmugan berkata, Tun turut memainkan peranan besar buat PESAKA sehingga beberapa atlet merangkul gelaran juara peringkat dunia sekali gus membanggakan penggiat sukan dan rakyat di negara ini.

Baginya, anugerah berkenaan juga menjadi inspirasi kepada atlet muda, penggiat sukan dan rakyat Melaka untuk cemerlang dalam semua aspek kepimpinan dan pengurusan sukan.

Pada majlis berkenaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menyampaikan anugerah berkenaan kepada Tun Dr. Mohd Ali pada majlis di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor.

Anugerah lain menyaksikan Olahragawan milik Aaron Chia/Soh Wooi Yik (badminton) dan atlet boling padang Nor Farah Ain Abdullah (Olahragawati) sementara, Anugerah Kepimpinan Sukan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top