Kerajaan nekad tangani subsidi bocor, elak perbelanjaan negara bertambah – PM

Kerajaan nekad tangani subsidi bocor, elak perbelanjaan negara bertambah – PM



am@hmetro.com.my

Butterworth: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Malaysia antara negara yang memperuntukkan subsidi paling tinggi dan mengutip cukai paling terendah di Asia.

Menteri Kewangan itu berkata, perkara berkenaan dimaklumkan menerusi kajian di beberapa persidangan serta pakar ekonomi antarabangsa.

Katanya, berita itu adalah sesuatu yang baik namun kerajaan akan terus berusaha memastikan semua perbelanjaan subsidi yang dikeluarkan sampai ke golongan sasar tanpa berlaku ketirisan.

“Betul, baik beritanya (kajian persidangan antarabangsa) yang menyatakan bahawa subsidi kita tertinggi, tetapi tanpa dibantu dengan angka dan data yang baik, kita dapati banyak juga subsidi bocor.

“Kalau ini tidak (ditangani) kita akan terus menambah perbelanjaan, tetapi ia (subsidi) tidak sampai kepada kumpulan sasar, jadi ini peranan yang sangat kritikal dan strategik yang harus dimainkan seterusnya oleh jabatan (Jabatan Perangkaan Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Intan 75 tahun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, DOSM buat julung kalinya melancarkan laporan Indikator Kos Sara Hidup 2023.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, semua perancangan, unjuran pertumbuhan, pelaburan serta kajian kemiskinan dan bantuan kepada rakyat memerlukan angka dan data.

“Maknanya nadi kehidupan rakyat dan negara itu bergantung kepada tahap kecekapan kita, integriti kita untuk menghasilkan data dan angka yang meyakinkan.

“Satu hal yang tidak boleh dipertikaikan di negara ini, walaupun ramai yang mempertikaikan institusi dan agensi, tetapi DOSM meletakkan satu prestasi dan nilai serta integriti yang dihormati oleh semua rakyat negara ini.

“Ini amat membantu kerana apabila angka-angkanya diyakini, ia boleh membantu negara tumbuh untuk memacu pertumbuhan dan pengagihan yang lebih adil,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menaruh keyakinan terhadap DOSM dengan keupayaan jabatan itu menyediakan laporan prestasi menunjukkan pencapaian dan statistik yang dapat dijadikan contoh bagi negara Asean.

“Tahun depan kita akan mempengerusikan Asean dan kita mengharapkan DOSM dapat berikan penerangan mengenai prestasi yang kita capai dan boleh jadi contoh serta teladan terbaik bagi (negara) Asean di rantau ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top