Kerajaan menegaskan tiada kompromi terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata insiden kemalangan yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor semalam merupakan kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Kehilangan ini amat menyayat hati, dan insiden sebegini bukan sahaja meragut nyawa yang tidak berdosa, malah merupakan satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Kementerian Pengangkutan memandang serius kejadian ini dan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah, kerana ia jelas membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal berusia lingkungan 30-an maut selepas dirempuh kereta dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel lain: ‘Terpaling juara’ kritik RXZ Members, isu pemandu mabuk senyap pula -Dr Akmal
Anthony Loke menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan supaya kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pendakwaan.
Kementerian juga sedang meneliti cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara.

“Kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” tambahnya.
Sumber: Utusan Online (Nur Aimi Hazirah)






