Kerajaan pantau aktiviti ‘Pejabat Keluarga’ elak berlaku pengubahan wang haram – Amir

Kerajaan pantau aktiviti ‘Pejabat Keluarga’ elak berlaku pengubahan wang haram – Amir


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Maklaysia (BNM) sentiasa memantau aktiviti ‘Pejabat Keluarga’ bagi mengelak berlaku jenayah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Demikian tegas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya ambil maklum ada kerisauan macam mana kita pantau skim ini (Pejabat Keluarga). Skim ini masih dalam pemantauan Suruhanjaya Sekuriti terutama Bank Negara daripada segi Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) melibatkan pemindahan modal, ini akan dijaga dengan peraturan sedia ada.

“Kita percaya apa yang dilakukan kedua-dua entiti ini agar tidak ada isu-isu berkaitannya berlaku,” katanya.

Terdahulu, Salamiah Mohd Nor (Perikatan Nasional-Temerloh) bertanya sama ada kerajaan melaksanakan kajian risiko terhadap kemunculan ‘Pejabat Keluarga’ di negara ini.

Sebelum ini Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City akan menjadi lokasi pertama ‘Pejabat Keluarga’ atau firma pengurusan individu kaya di negara ini dalam menguruskan kekayaan mereka.

Menerusi Skim Pejabat Keluarga Tunggal yang diselaraskan oleh Sekuriti Suruhanjaya Malaysia (SC) itu bertujuan untuk menarik minat keluarga Malaysia dan serantau untuk menguruskan kekayaan keluarga sekali gus merancakkan ekonomi negara.

Antara tarikan yang ditawarkan menerusi skim itu adalah dengan kadar cukai sifar peratus terhadap keuntungan pelaburan yang diperoleh untuk beberapa tahun.

Mengulas perkara yang sama, Amir Hamzah berkata, pihaknya menganggarkan ‘Pejabat Keluarga’ akan meningkat sebanyak 75 peratus menjelang 2030.

Sebagai rekod, Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City akan menjadi lokasi pertama Pejabat Keluarga.

Jelasnya, perniagaan ini akan dapat menarik pelabur sekaligus menjana ekonomi global dan tempatan.

Selain itu tambah beliau ‘Pejabat Keluarga’ juga dilihat  membantu aliran modal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pelaburan.

“Pelaburan secara langsung ke dalam syarikat PKS melalui kempen pendanaan awam (crowd funding) dan peer-to-peer financing platform yang membolehkan PKS mengumpul dana bagi operasi mereka.

“Ia boleh dilakukan juga melalui pelaburan dana teroka yang menyuntik modal ke PKS serta panduan dan bimbingan merangka strategi perniagaan efektif.

“Kerajaan akan memanfaatkan inisiatif sedia ada dalam melaraskan informasi berkenaan peluang pendanaan alternatif terutama dalam pasaran modal di mana Pejabat Keluarga bakal menjadi salah satu modal kepada PKS,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top