KUALA LUMPUR: Pemandu berhemah dan mempunyai profil risiko lebih rendah berpeluang menikmati manfaat rebat premium sehingga 10 peratus menerusi inisiatif Cermat Madani
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemandu tertakluk kepada penilaian dan keputusan daripada syarikat insurans atau pengendali takaful yang mengambil bahagian.
Katanya, menerusi pendekatan penetapan premium berasaskan risiko, maklumat seperti rekod kesalahan lalu lintas, tingkah laku pemanduan dan profil kenderaan akan dinilai syarikat insurans dan takaful bagi menilai risiko secara lebih tepat, adil dan berasaskan bukti.
“Pelaksanaan Cermat Madani akan dibuat secara berperingkat menerusi dua fasa. Pertama ia akan bermula hari ini sehingga 9 September. Sepanjang tempoh ini, kerajaan akan memperluas penggunaan Cermat Madani dan aplikasi MyJPJ sebagai platform utama pelaksanaan program berkenaan. Selepas itu pada 10 September, rebat hanya akan diberikan kepada pengguna yang layak berdasarkan status saman aktif serta senarai hitam.
“Manakala bagi fasa kedua pula akan dilaksanakan selepas pelaksanaan penuh liberalisasi insurans Bank Negara Malaysia (BNM) bersama industri insurans. Melalui pendekatan baharu nanti, premium insurans tidak lagi ditentukan secara umum, sebaliknya berdasarkan tahap risiko sebenar seseorang pemandu, ” katanya dalam Majlis Peluncuran Inisiatif Cermat Madani di sini hari.
Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, data tersebut akan diperoleh menerusi pangkalan data rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum diintegrasi dengan syarikat dan Sistem Maklumat Insurans (ISM).- UTUSAN






