Kerajaan perlu perjelas kedatangan 2 kapal laut tentera China di P. Pinang

Kerajaan perlu perjelas kedatangan 2 kapal laut tentera China di P. Pinang


KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) menuntut penjelasan kerajaan berhubung kedatangan dua kapal tentera laut China, Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan yang membawa 1,376 pegawai dan tentera berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang, 6 Oktober lalu.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kerajaan perlu menjelaskan keperluan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang memberi keterangan kepada tentera China mengenai selok-belok DUN negeri itu.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada rombongan seramai 150 tentera China ke Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) dengan membuat program dan persembahan beridentiti China tidak bertentangan dengan sebarang protokol dan dasar negara Malaysia.

“Meskipun Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai sudah memberi penjelasan yang ia dibuat secara rasmi dan cuba menjernihkan keadaan dengan membandingkan lawatan ini dengan rekod persinggahan kapal-kapal tentera laut asing yang lain.

“Namun begitu, ia menimbulkan kesangsian kerana sambutan yang dibuat agak meriah dan aktiviti rombongan yang luar biasa berbeza dengan persinggahan kapal tentera asing yang lain,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, sambutan dan program yang diatur Kerajaan Negeri Pulau Pinang tersebut sangat mengecewakan ketika krisis Laut China Selatan masih getir atas tindakan Tentera Laut China yang tidak berhenti membuat pencerobohan ke dalam perairan negara yang mengancam kedaulatan negara.

Malah, ujar beliau, China juga baru sahaja membantah Malaysia membuat eksplorasi minyak dan gas walaupun ia terletak dalam perairan negara ini.

“Justeru, Pemuda PN menggesa Kerajaan PH-BN segera membuat keterangan untuk membuang rasa curiga rakyat akan tindakan Kerajaan Pulau Pinang dan pihak pengurusan sekolah Menengah Persendirian Chung Lin.

“Langkah ini juga dapat mencegah pihak bertanggungjawab memanipulasi isu dan membuat fitnah sekali gus dapat mengelakkan timbulnya ketegangan kaum,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR