am@hmetro.com.my
Padang Besar: Kerajaan menyasarkan keluasan penanaman kenaf diperluas sehingga mencecah 2,500 hektar menjelang akhir tahun ini sebagai langkah memperkukuh sektor agrikomoditi dan meningkatkan pendapatan petani.
Ini selepas tanaman kenaf walaupun tidak dilihat sebagai bukan komoditi utama seperti kelapa sawit dan getah, namun berpotensi memberi impak besar kepada masyarakat setempat dalam menjana ekonomi tempatan dan negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penanaman kenaf kini muncul sebagai komoditi strategik baharu yang berpotensi mengubah landskap sosioekonomi negara.
“Malah, Perlis dilihat semakin menyerlah sebagai hab utama pembangunan industri ini dan faktor cuaca panas dan kering menjadikan negeri ini amat sesuai sebagai pusat pengeluaran biji benih berkualiti tinggi.
“Ini menjadikan negeri ini sebagai nadi rantaian bekalan kenaf negara malah dengan sokongan berterusan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), tanaman ini bukan sahaja menggantikan tembakau, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan industri hijau yang lebih lestari.
“Walaupun kenaf bukan komoditi utama seperti kelapa sawit dan getah, tanaman ini memberi impak besar kepada masyarakat setempat dalam menjana ekonomi tempatan dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Negeri Perlis di Dewan K3, Bukit Keteri, Beseri, di sini hari ini.
Turut hadir adalah Ketua Setiausaha KPK, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Pengerusi LKTN, Datuk Seri Dr Alwi Che Ahmad.
Katanya, lawatan rasminya ke Perlis baru-baru ini membuka ruang lebih luas terhadap potensi sebenar kenaf sebagai sumber ekonomi alternatif.
“Penanaman kenaf kini berkembang pesat terutama di kawasan Padang Besar dan Chuping, menggantikan ladang tebu serta tembakau yang pernah mendominasi sektor pertanian negeri ini.
“Inisiatif pembangunan Kenaf Integrated Park (KIP) di Chuping menjadi projek perintis penting yang memfokuskan pemprosesan pulpa kenaf untuk pasaran produk biodegradasi dan mesra alam.
“Penanaman kenaf turut melahirkan ramai usahawan, termasuk wanita yang gigih mengusahakan tanaman ini dengan bimbingan LKTN dan agensi kerajaan negeri,” katanya.
Terdahulu, Noraini turut menyampaikan bayaran hasil biji benih kenaf bagi musim 2025/2026 kepada para penanam kenaf di Perlis.
Selain itu, beliau turut menyantuni ibu tunggal dan menyerahkan sumbangan kepada golongan berkenaan.
Malah, dalam majlis berkenaan juga, tiga penanam utama kenaf mencatatkan hasil yang sangat membanggakan apabila berjaya mengeluarkan hasil kenaf mencecah 1,980 kilogram dengan nilai pendapatan sehingga RM79,200.
© New Straits Times Press (M) Bhd






