September 8, 2024

Kerajaan setuju secara dasar laksanakan VOP

Kerajaan setuju secara dasar laksanakan VOP


KUANTAN -Kerajaan secara dasarnya bersetuju melaksanakan Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi membantu kontraktor yang terkesan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memahami beban peningkatan kos yang ditanggung kontraktor ketika ini.

“Kita faham semasa di bawah penyasaran subsidi diesel, mungkin ada sedikit kenaikan (harga) yang dirasakan kontraktor-kontraktor ini untuk kos sedia ada.

“Jadi, untuk kontrak kerajaan, Kementerian Kewangan tengah berbincang dengan Kementerian Kerja Raya dengan CIDB bagi memperhalusi penyelarasan untuk VOP untuk diberi kepada kontrak-kontrak sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Tranformasi G1 Pahang di Dewan Utama, Pejabat Pengarah Kampus, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini hari ini.

Jelas Amir Hamzah, perbincangan tersebut telah pun bermula sejak minggu lalu.

Terdahulu, pada 25 Jun lepas, media melaporkan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berharap variasi harga (VOP) dapat dikembalikan semula bagi mengimbangi kenaikan kos binaan sekitar 30 peratus disebabkan rasionalisasi subsidi diesel.

Kali terakhir kerajaan menambah 11 bahan binaan dalam pelaksanaan VOP bagi membantu kontraktor yang berdepan kenaikan harga barangan binaan adalah pada tahun 2022.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan bahan binaan dalam VOP ialah 15 antaranya simen, batu bata dan dinding, kaca, batu baur, bahan siling serta bahan bumbung. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top