Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang, komitmen 1MDB

Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang, komitmen 1MDB


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sejumlah RM42.5 bilion hutang dan komitmen akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah ditanggung kerajaan, sehingga 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, jumlah itu termasuk pembayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi serta komitmen lain.

Selain itu, katanya, kerajaan masih bertanggungjawab menanggung Sukuk Islamic Medium-Term Note (IMTN) bernilai RM8.9 bilion yang dijamin kerajaan.

Beliau berkata, sukuk itu meliputi bayaran prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada 2039.

“Ini bermakna, secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang sudah dan masih perlu ditanggung kerajaan bernilai RM51.4 bilion.

“Setakat ini, kerajaan sudah berjaya mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB bernilai RM31.3 bilion.

“Kerajaan juga masih terpaksa menanggung baki RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi kewangan 1MDB, jika tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai jumlah keseluruhan hutang 1MDB ditanggung dan sudah dibayar kerajaan, selain dana serta aset diseleweng yang sudah diraih semula.

Dalam pada itu, Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, kerajaan dijangka perlu menanggung sebahagian besar baki liabiliti bersih, dianggarkan bernilai RM20.1 bilion.

Ini kerana, katanya, pemulihan dana atau aset masa hadapan mencukupi bagi menampung keseluruhan baki obligasi 1MDB adalah tidak mungkin, walaupun sebahagian besar usaha pemulihan bernilai signifikan direalisasikan, sebelum ini.

“Hakikatnya, skandal 1MDB bukan hanya mengakibatkan kerugian kewangan besar kepada kerajaan, ia juga menjejaskan reputasi dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Isu ini mendapat liputan meluas media global, mencetuskan siasatan pelbagai agensi penguatkuasaan di beberapa negara serta membabitkan siri prosiding mahkamah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu antara lain memberi kesan negatif terhadap persepsi masyarakat antarabangsa terhadap sistem tadbir urus, integriti institusi awam dan pengurusan kewangan negara.

Katanya, reputasi Malaysia yang terjejas turut memberi cabaran kepada usaha kerajaan memperkukuh keyakinan pelabur, meningkatkan daya saing ekonomi serta mengekalkan kepercayaan pasaran terhadap institusi dan dasar fiskal negara.

“Justeru, kerajaan berusaha memperkukuh tadbir urus baik pentadbiran negara bagi memulih semula keyakinan dunia terhadap negara.

“Contohnya, kita berjaya mencipta prestasi pelaburan diluluskan dan perdagangan tertinggi dalam sejarah serta kedudukan indeks daya saing dunia yang bertambah baik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan mempergiat usaha mendapatkan semula aset 1MDB dengan antara tindakan diambil termasuk pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Razak.

Bagi kes 1MDB, katanya, Mahkamah Tinggi pada 25 Disember 2025, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas Najib disabitkan bersalah atas 25 pertuduhan wang haram dan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan.

Beliau berkata, saman sivil turut dibuat ke atas Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan semula AS$380 juta ganti rugi berhubung dana daripada 1MDB yang digunakan untuk membeli barangan mewah.

“Pendakwaan jenayah dan sivil juga dibuat terhadap Low Taek Jho atau dikenali Jho Low yang menjadi dalang utama penyelewangan 1MDB, dengan nilai tuntutan sivil bernilai AS$3.78 bilion.

“Seterusnya, saman sivil terhadap Tarek Obaid dan Patrick Mahoni yang terbabit kes penyelewangan 1MDB.

“Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland turut menjatuhkan hukuman terhadap kedua-duanya serta mengarahkan bayaran ganti rugi AS$1.75 bilion kepada 1MDB.

“Tindakan saman sivil turut diambil ke atas pelbagai institusi kewangan antarabangsa terbabit penyelewangan dana 1MDB,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top