Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan segala usaha dilaksanakan bagi memperkasakan rakyat terutama membantu golongan yang memerlukan, tidak akan menjatuhkan kerajaan.
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kerajaan hanya akan tumbang disebabkan rasuah, penyelewengan dan tamak dalam kalangan pemimpin serta mengaut harta yang bukan hak mereka.
“Saya tak pernah baca, pengalaman sejarah, sama ada sejarah Islam, China purba, India, Arab atau Amerika Latin bahawa kerajaan itu jatuh kerana tolong, belanja banyak untuk orang miskin, saya tak pernah dengar.
“Belum pernah tercatat dalam lembaran sejarah mana-mana pemerintah itu kalah, jatuh kerana membantu rakyat miskin atau menaikkan gaji yang sepatutnya, diberi upah yang adil… tidak pernah,” katanya pada Majlis Peluncuran Residensi MADANI Putrajaya di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Residensi MADANI Putrajaya antara tujuh projek perumahan mampu milik di sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dijangka siap menjelang 2028.
Dalam pada itu, Anwar meminta semua pihak yang terbabit dalam projek perumahan mampu milik supaya tidak melengah-lengahkan pembinaan kediaman berkenaan.
Bagi Residensi MADANI Putrajaya, sejumlah 4,000 unit bakal ditawarkan kepada rakyat dengan harga serendah RM200,000 seunit.
© New Straits Times Press (M) Bhd