PETALING JAYA: Kerajaan perlu menjelaskan sama ada wujudnya kekangan kewangan ataupun agenda lain yang menyebabkan hampir RM1 bilion peruntukan yang telah diluluskan untuk projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) didakwa masih belum disalurkan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, perkara itu membabitkan projek KKDW yang telah dirancang, dibajetkan serta diberikan kepada kontraktor.
Menurutnya, projek berkenaan bukan kerja baharu kerana peruntukannya telah dibentangkan dan diluluskan sebelum dilaksanakan oleh kontraktor terbabit.
“Saya hampir setiap hari didatangi kontraktor yang telah melaksanakan kerja-kerja di bawah KKDW. Projek-projek berkenaan telah dirancang, diperuntukkan bajet, dianugerahkan dan kini hampir siap namun sebahagian kontraktor masih belum menerima bayaran.
“Apabila perkara ini dikemukakan kepada KKDW, jawapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri di KKDW menyatakan terdapat lebih RM1 bilion bajet tidak diberikan kepada kementerian.
“Keadaan itu menyebabkan kontraktor yang telah melaksanakan kerja terpaksa menunggu bayaran meskipun projek berkenaan telah dirancang dan mempunyai peruntukan,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau ‘panas’ dengan isu itu apabila masih terdapat sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB) berdepan kelewatan pembayaran.
Muhammad Akmal dalam pada itu berkata, kelewatan berkenaan telah berlarutan sehingga hampir empat bulan sehingga menjejaskan kontraktor yang bergantung kepada bayaran kerajaan bagi meneruskan operasi.
Katanya, keadaan berkenaan menyebabkan sebahagian kontraktor hampir muflis dan terpaksa menanggung hutang walaupun kerja telah dilaksanakan mengikut projek ditetapkan.
“Ramai kontraktor di bawah sudah buat kerja tetapi tidak menerima bayaran sedangkan projek tersebut telah dibajetkan dan diluluskan terlebih dahulu.
“Keadaan berkenaan menyebabkan sebahagian kontraktor hampir bankrap dan terpaksa menanggung hutang walaupun kerja telah dilaksanakan mengikut projek ditetapkan.
“Selain itu, terdapat juga kontraktor yang berdepan risiko gulung tikar serta kemungkinan disaman susulan kegagalan mendapatkan bayaran bagi kerja yang telah disiapkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan berhubung peruntukan yang belum disalurkan.
“Penjelasan itu penting kerana kelewatan berkenaan akhirnya memberi kesan kepada kontraktor yang telah melaksanakan kerja dan menanggung kos projek.
“Saya hendak tanya, kenapa peruntukan yang sudah dibajetkan itu tidak diberikan? Adakah kerajaan sudah tidak mempunyai wang yang mencukupi atau ada agenda lain di sebalik peruntukan yang tidak disalurkan kepada kementerian?,” soalnya.-UTUSAN
