KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan Meta Platforms Inc (Meta) untuk melanjutkan tarikh akhir pendaftaran pelesenan media sosial yang telah dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana kerajaan tidak boleh memberi lebih masa kepada kumpulan `scammer’ dan pedofilia untuk terus bermaharajalela di platform-platform media sosial.
Apatah lagi, tegas beliau, kerajaan menerima banyak aduan daripada orang awam berkenaan kewujudan kumpulan pedofilia di platform media sosial dengan keahlian sehingga berpuluh-puluh ribu orang serta sudah beroperasi sejak bertahun-tahun lamanya.
“Jadi saya tidak faham kenapa Meta nak pertahankan kumpulan `scammer’ dan pedofilia ini, kita sudah arahkan supaya dilesenkan, jadi lesen sahaja lah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di Sentul Depot, di sini hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa barisan Jemaah Menteri lain.
Dalam temu bual bersama portal MalaysiaKini semalam, Pengarah Dasar Awam Meta untuk Asia Tenggara, Rafael Frankel dilaporkan membangkitkan kebimbangan terhadap apa yang disifatkan sebagai “garis masa yang sangat dipercepatkan” untuk mematuhi peraturan baru berkenaan.
Menurut Frankel, kebimbangan itu terutamanya berhubung kewajipan yang tidak jelas yang akan dikenakan oleh kerajaan ke atas platform berkenaan.
Temu bual eksklusif itu diadakan sehari selepas sepasukan wakil Meta yang diketuai Frankel dilaporkan bertemu Fahmi dan pegawainya di Putrajaya untuk membincangkan kesediaan syarikat tersebut untuk peraturan pelesenan.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyangkal kerajaan tidak berbincang dengan syarikat gergasi media sosial sebelum melaksanakan dasar pelesenan media sosial tersebut.
Sedangkan, ujar beliau, perbincangan tersebut sudah dilakukan sejak awal tahun ini, malah beliau sendiri ke Singapura untuk berbincang dengan Meta berhubung langkah yang akan diambil kerajaan itu.
“Untuk kata kita tidak pernah bincang dengan mereka itu satu penipuan. Mereka akan bagi macam-macam alasan, tetapi bagi saya keselamatan rakyat Malaysia terutamanya kanak-kanak dan keluarga, kita tidak boleh kompromi,” katanya.
Pada 27 Julai lalu, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari 2025.
Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588. – MalaysiaGazette